TEHERAN: Iran menegaskan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perang berpanjangan dan bakal memperkenalkan peralatan ketenteraan canggih yang belum pernah digunakan dalam konflik dengan AS-Israel.
Menurut jurucakap Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigadier Jeneral Ali Mohammad Naeini, musuh Iran harus menjangkakan serangan yang lebih ‘menyakitkan’ dalam gelombang serangan baharu yang akan datang.
“Inisiatif dan senjata baharu Iran sedang dalam perjalanan. Teknologi ini belum digunakan secara besar-besaran,” katanya.
Naeini menambah, Iran kini lebih bersedia berbanding perang 12 hari tahun lalu yang dilancarkan AS-Israel dan menggambarkan konfrontasi ketenteraan semasa sebagai ‘perang yang suci dan sah’.
Kawasan kediaman di Teheran termasuk antara lokasi yang terkena serangan terbaharu AS dan Israel pada pagi Jumaat, menurut saluran berita berbahasa Inggeris Press TV.
Serangan susulan turut dirakam dalam video ketika seorang wartawan Press TV melaporkan kesan serangan sebelumnya.
Laman berita Iran, Mamlekate melaporkan kawasan berhampiran institusi pendidikan utama negara, Universiti Teheran dak akademi tentera turut terkena serangan pada pagi Jumaat, menurut video yang disiarkan di laman X.
Tiada laporan segera mengenai korban jiwa dari gelombang serangan tersebut.-AGENSI










