TEHERAN: Ketika perang memasuki hari kesembilan, Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam berkata bahawa mereka mempunyai bekalan yang mencukupi untuk meneruskan peperangan dron dan peluru berpandu udara di Asia Barat sehingga enam bulan lagi.
Jurucakap Pasukan Pengawal Revolusi, Ali Mohammad Naini menyatakan setakat ini, Iran hanya menggunakan peluru berpandu generasi pertama dan kedua ketika bertindak balas terhadap serangan AS-Israel.
Namun, katanya, Iran kini akan menggunakan peluru berpandu jarak jauh canggih dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Angkatan Tentera Republik Islam Iran mampu meneruskan sekurang-kurangnya perang sengit selama 6 bulan pada kadar operasi semasa,” kata Ali.
Pengawal Revolusi, pasukan elit Iran, turut berkata, mereka telah menyasarkan lebih 200 lokasi yang berkaitan dengan pangkalan dan kemudahan Amerika serta Israel di seluruh rantau Asia Barat.
Sementara itu, di dalam Iran, kerosakan kepada infrastruktur dan kawasan kediaman semakin meningkat apabila rakyat melaporkan kebimbangan yang bertambah dan kehadiran ancaman keselamatan besar.
“Saya rasa tiada siapa yang tidak pernah mengalami perang akan memahaminya,” kata seorang guru berusia 26 tahun yang tidak mahu mendedahkan namanya kepada AFP.
Bagaimanapun, negara-negara Teluk dan Israel melaporkan serangan peluru berpandu dan dron dari Iran awal semalam.
Tentera Kuwait berkata, mereka sedang memintas serangan peluru berpandu dan dron musuh, beberapa jam selepas melaporkan tangki bahan api di lapangan terbang antarabangsa negara itu disasarkan oleh dron Iran.
Agensi berita rasmi Kuwait pula berkata, kebakaran di lapangan terbang telah berjaya dikawal.
Pihak berkuasa Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berkata, sistem pertahanan udara mereka sedang bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron.
Arab Saudi menyatakan, mereka telah memintas serangan dron yang menyasarkan kawasan diplomatik di Riyadh tetapi melaporkan tiada kemalangan atau kerosakan.
Tentera Israel berkata, mereka melancarkan gelombang serangan di seluruh Iran dengan menyasarkan infrastruktur ketenteraan.
Kira-kira 10 jam sebelumnya, tentera itu mengumumkan serangan ke atas infrastruktur rejim Iran di Teheran.
ISRAEL BEDIL LUBNAN
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan Israel ke atas sebuah hotel di Beirut tengah semalam membunuh sekurang-kurangnya empat orang, selepas lokasi-lokasi di selatan negara itu turut disasarkan.
Tentera Israel berkata, mereka melancarkan serangan tepat di Beirut yang menyasarkan komander daripada Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran..
Di selatan Lubnan, di mana Israel berperang dengan kumpulan Hizbollah yang disokong Iran, kementerian kesihatan berkata, lapan orang terbunuh dalam serangan ke atas lebih 20 bandar dan kampung.
Ikrar Netanyahu
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Israel akan meneruskan perang dengan Iran dengan semua kekuatan negaranya sebagai sebahagian daripada rancangan sistematik untuk membasmi rejim Iran.
Beliau menambah bahawa serangan udara AS dan Israel telah memastikan pengawalan hampir sepenuhnya ruang udara di Teheran.
Tentera Israel berkata, mereka telah melaksanakan kira-kira 3,400 serangan ke atas Iran sejak perang bermula pada 28 Februari lalu.
Dalam pada itu, syarikat minyak negara Kuwait pada Sabtu mengumumkan pengurangan pengeluaran minyak mentah disebabkan serangan Iran dan ancaman terhadap Selat Hormuz, laluan penting untuk hidrokarbon Teluk.
Tentera Kuwait berkata, sistem pertahanan udaranya sedang memintas serangan peluru berpandu dan dron musuh pada Ahad, ketika Iran meneruskan serangan di seluruh rantau.
“Kem pertahanan udara Kuwait kini sedang menghadapi serangan peluru berpandu dan dron musuh,” kata tentera itu dalam hantaran di X sambil menambah bahawa bunyi letupan yang terdengar adalah hasil daripada sistem pertahanan udara berjaya memintas serangan tersebut. – AGENSI










