Iran janji tindak balas lebih dahsyat jika AS serang loji kuasa

Iran janji tindak balas lebih dahsyat jika AS serang loji kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran kini berada dalam keadaan berwaspada tinggi menjelang tempoh akhir yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin yang menuntut pembukaan semula Selat Hormuz.

Trump menuntut Iran membuka semula laluan tersebut atau berhadapan dengan serangan besar-besaran AS ke atas loji-loji kuasa negara itu.

Pada masa yang sama, Israel memberikan isyarat paling jelas setakat ini mengenai rancangan melancarkan serangan darat ke Lubnan. Tentera Israel bertindak memusnahkan sebuah jambatan utama dalam usaha mereka untuk melumpuhkan Hezbollah, pergerakan Syiah yang disokong kuat oleh Iran.

Trump yang memberikan sokongan penuh kepada Israel dalam peperangan yang bermula pada 28 Februari lalu, kini berdepan tekanan politik domestik susulan lonjakan harga bahan api.

Kenaikan itu berpunca daripada tindakan balas Iran di wilayah Teluk yang kaya dengan minyak.

Sabtu lalu, Trump mengancam untuk melenyapkan loji-loji kuasa Iran jika negara itu tidak menamatkan sekatan separa di Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam. Selat berkenaan merupakan laluan air sempit yang menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dunia.

Berdasarkan waktu hantaran di media sosial beliau, tempoh akhir tersebut dijangka jatuh pada pukul 11.44 malam (awal pagi Selasa waktu Iran atau petang Isnin waktu Washington).

Pucuk pimpinan tentera Iran bertindak balas dengan nada mencabar dan menyatakan jika Trump meneruskan ancaman tersebut, mereka akan menyerang loji kuasa, infrastruktur tenaga, serta teknologi maklumat dan komunikasi Israel.

Iran turut mengancam untuk menyasarkan loji kuasa di negara-negara serantau yang menempatkan pangkalan AS serta syarikat yang mempunyai pemegang saham warga AS.

Markas operasi Iran memberi amaran  jika ancaman AS terhadap loji kuasa mereka dilaksanakan, Selat Hormuz akan ditutup sepenuhnya dan tidak akan dibuka semula sehingga loji yang musnah dibina semula, satu proses yang menurut mereka boleh memakan masa bertahun-tahun.

Speaker Parlimen Iran yang berpengaruh, Mohammad Bagher Ghalibaf turut memberi amaran infrastruktur penting di seluruh wilayah tersebut akan dianggap sebagai sasaran sah dan akan dimusnahkan tanpa boleh dipulihkan semula.

Dalam pada itu, menteri tenaga Iran menyatakan serangan AS-Israel setakat ini telah pun mengakibatkan kerosakan besar kepada infrastruktur air dan tenaga di negara berkenaan.

Ancaman Trump itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelarian Iran yang sebelum ini menyokong peperangan tersebut, yang dilancarkan beberapa minggu selepas republik Islam itu menindas demonstrasi besar-besaran sehingga mengorbankan ribuan nyawa.

Reza Pahlavi, anak kepada Shah yang digulingkan dalam revolusi Islam 1979, menyeru Washington dan Israel agar menyasarkan jentera penindasan kerajaan sahaja.

Beliau menegaskan kepentingan untuk melindungi infrastruktur awam dan penting Iran yang sangat diperlukan oleh rakyat untuk membina semula negara itu pada masa hadapan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN