Iran guna minyak sebagai senjata - Utusan Malaysia

Iran guna minyak sebagai senjata

Asap tebal menjulang dari kawasan yang menjadi sasaran serangan udara berhampiran Menara Azadi di barat Teheran semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran berikrar pada Selasa bahawa tidak satu liter minyak pun akan dieksport dari Teluk selagi perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel berterusan, satu kenyataan tegas yang menolak dakwaan Presiden Donald Trump bahawa konflik itu hampir berakhir.

Kenyataan Trump bahawa perang itu akan berakhir tidak lama lagi membantu membalikkan lonjakan harga minyak pada hari sebelumnya, yang meningkat sejak serangan Iran terhadap kapal-kapal di laluan strategik Selat Hormuz. Ia adalah sebagai  tindakan  membalas dendam serangan Amerika dan Israel sehingga membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, 28 Februari lalu.

Kenaikan harga itu juga berlaku selepas serangan ke atas sebuah depot minyak di Iran dan serangan terhadap infrastruktur minyak di Arab Saudi dan Bahrain.

Selepas kenyataan optimistik Trump, harga gas di Eropah dibuka 15 peratus lebih rendah dan pasaran saham Asia pulih daripada kejatuhan pada Isnin, namun kebimbangan masih tinggi.

Mesir meningkatkan harga bahan api sehingga 30 peratus manakala Pakistan berkata, ia akan menyediakan pengiring tentera laut kepada kapal-kapal komersial

EKSPORT MINYAK

Sementara itu, Pasukan Pengawal Revolusi Republik  Islam Iran (IRGC) ‘mengejek’ usaha Trump untuk mengurangkan kesan ekonomi perang, dengan memberi amaran:  “Angkatan bersenjata Iran  tidak akan membenarkan eksport walaupun satu liter minyak dari rantau ini kepada pihak musuh dan rakan sekutunya sehingga diberitahu kelak.

“Kitalah yang akan menentukan pengakhiran perang. Persamaan dan kedudukan masa depan rantau ini kini berada di tangan angkatan bersenjata kami. Pasukan Amerika tidak akan menamatkan perang ini,” kata IRGC.

Pasukan itu dilihat rapat dengan pemimpin tertinggi baharu Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei menerusi kenyataan yang disiarkan media Iran.

Dalam mesej secara langsung kepada Washington DC, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberitahu PBS News: “Kami bersedia sepenuhnya untuk terus menyerang mereka dengan peluru berpandu kami selagi perlu dan selama mana yang diperlukan.”

Diplomat tertinggi Teheran itu, yang kekal memegang jawatan sejak Ayatollah Mojtaba Khamenei menggantikan bapanya yang terbunuh sebagai pemimpin tertinggi, mengadu bahawa Amerika telah menyerang Iran ketika rundingan diplomatik masih berlangsung.

Pasukan Iran berulang kali menyasarkan kapal tangki minyak yang melalui laluan perairan strategik itu sejak perang bermula.

Harga minyak sejak itu meningkat mendadak kepada lebih AS$100 setong (RM392), paras tertinggi sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine 2022,  sebelum kembali menurun pada Isnin selepas Trump, berkata, operasi ketenteraan akan berakhir tidak lama lagi.

SERANGAN

Israel bagaimanapun berkata pada Selasa bahawa ia telah menyerang sebuah pelancar peluru berpandu milik Iran tidak lama selepas satu gelombang peluru berpandu yang dilancarkan dari republik Islam itu mencetuskan amaran serangan udara di beberapa kawasan Israel.

Lewat Isnin, tentera Israel berkata, mereka mengesan satu lagi siri pelancaran peluru berpandu dari Iran dan sedang berusaha memintas ancaman tersebut.

Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pula berkata pada Selasa bahawa ia memintas serangan dron dan peluru berpandu dari Iran.

“Pertahanan udara UAE kini sedang bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron yang datang dari Iran,” kata kementerian pertahanan negara itu dalam satu hantaran di platform X.

Menurut agensi berita Iran ISNA, lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara AS‑Israel yang melanda sebuah bangunan kediaman di bandar Arak, barat Iran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata pada Isnin bahawa Amerika berniat untuk membahagikan (negara) dan mengambil minyaknya.

Timbalan Menteri Luar, Kazem Gharibabadi berkata, beberapa negara, termasuk China, Russia dan Perancis, telah menghubungi Iran mengenai gencatan senjata, menurut laporan televisyen kerajaan.

Sementara itu serangan ke atas bangunan kediaman di timur Teheran mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang. Iran berkata, perang itu telah mengorbankan lebih 1,255 orang dan mencederakan kira-kira 10,000 orang.

Pada hari Selasa, Kuwait dan UAE  melaporkan telah memintas peluru berpandu dan dron dari Iran.

Seorang wanita berusia 29 tahun terbunuh manakala lapan orang cedera apabila sebuah bangunan kediaman di ibu negara Manama, Bahrain, dilanda serangan, menurut kementerian dalam negeri negara itu pada Selasa. 

Dalam pada itu, Turkiye berkata pada Selasa bahawa satu sistem pertahanan peluru berpandu Patriot ditempatkan di tengah negara tersebut.

Ia ditempatkan  sehari selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memintas peluru berpandu balistik kedua yang dilancarkan dari Iran ke dalam ruang udara Turkiye. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN