TEHERAN: Iran kini membenarkan lebih banyak kapal komersial melalui Selat Hormuz, walaupun laluan strategik itu sebelum ini banyak terjejas akibat konflik dan ancaman keselamatan.
Menurut syarikat perisikan maritim Windward, lapan kapal, tidak termasuk kapal mengibarkan bendera Iran, dikesan di laluan perairan kritikal itu melalui sistem pengecaman automatik pada Isnin.
Bilangan transit adalah hampir dua kali ganda daripada jumlah yang dilihat dalam beberapa hari kebelakangan ini, lapor Windward kelmarin.
Seorang penganalisis di Windward, Michelle Wiese Bockmann berkata, semakin banyak kapal mengubah laluan melalui perairan wilayah Iran, menunjukkan Teheran membenarkan transit berasaskan kebenaran khas untuk negara-negara sekutu.
“Kapal yang berkaitan dengan negara Barat tidak akan masuk ke perairan Iran secara sukarela, tetapi kemungkinan kapal dari China, India dan negara lain akan berbuat demikian,” kata Bockmann dalam hantaran di X.
Sementara itu, satu lagi perkhidmatan pengesanan kapal, MarineTraffic merekodkan sembilan transit pada Isnin dan Ahad, berbanding lima dalam dua hari sebelumnya.
Laluan melalui Selat Hormuz, yang biasanya membawa kira-kira satu perlima bekalan minyak global, merosot lebih 95 peratus sejak permulaan perang antara Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran.
Transit harian oleh kapal bukan Iran, terutama yang mengibarkan bendera China, India dan Pakistan, menurun kepada angka satu digit berikutan ancaman Teheran terhadap perkapalan di rantau itu.
Pemberhentian trafik yang berkesan melalui perairan itu menyebabkan harga minyak melonjak melebihi AS$100 (RM391) setong, meningkat lebih 40 peratus berbanding sebelum perang bermula. – Agensi










