JAKARTA: Indonesia telah mengeluarkan surat saman kepada Google dan Meta kerana gagal mematuhi larangan media sosial bagi pengguna bawah umur 16 tahun yang mula berkuat kuasa pada hujung minggu lalu, kata menteri komunikasi negara itu.
Dalam satu video yang dimuat naik di Instagram lewat Isnin, Menteri Meutya Hafid berkata, kerajaan sedang mengeluarkan surat saman kepada Meta yang memiliki Facebook, Instagram dan Threads selain Google yang mengendalikan YouTube sambil menambah bahawa mereka telah melanggar undang-undang Indonesia.
Surat saman tersebut dikeluarkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan sekatan pentadbiran selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa, tambah menteri itu.
Indonesia, yang rakyatnya sangat aktif menggunakan aplikasi pada telefon bimbit, mula menguatkuasakan larangan media sosial bagi pengguna berumur di bawah 16 tahun pada Sabtu, dengan alasan ancaman daripada pornografi dalam talian, buli siber dan ketagihan internet.
Meutya berkata pada hujung minggu bahawa tiada ruang untuk kompromi dalam soal pematuhan.
Dalam video pada Isnin, beliau menuduh Google dan Meta telah menentang peraturan baharu itu sejak dari awal lagi.
“Kami faham ini bukan mudah. Indonesia sememangnya salah sebuah negara paling aktif dalam ruang digital, dengan purata masa melayari skrin sekitar 7 hingga 8 jam sehari,” kata menteri itu.
Beliau menggesa ibu bapa dan kanak-kanak supaya membantu kerajaan memantau pematuhan dan melaporkan syarikat yang melanggar undang-undang.
Indonesia, dengan jumlah penduduk melebihi 284 juta orang, mempunyai antara pengguna media sosial paling ramai di dunia, termasuk kira-kira 70 juta kanak-kanak di bawah umur 16 tahun. – AFP










