Individu dakwa jumpa 'petak kubur' di ladang Epstein

Individu dakwa jumpa ‘petak kubur’ di ladang Epstein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Seorang individu mendakwa melihat ‘petak menyerupai kubur’ di ladang milik Jeffrey Epstein di New Mexico dan menyerahkan gambar tapak pengebumian itu dengan pihak berkuasa yang menyiasat kes pesalah seks itu.

Pemberi maklumat itu berkongsi imej berkenaan dengan dua penggubal undang-undang negeri bulan lalu, susulan penelitian semula terhadap aktiviti Epstein di Ladang Zorro.

Dakwaan itu, yang belum disahkan secara bebas, belum pernah dilaporkan dan tidak dimasukkan dalam fail Epstein yang didedahkan secara terbuka oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Jabatan itu mengeluarkan berjuta-juta halaman dokumen berkaitan siasatan jenayah terhadap ahli kewangan berkenaan pada akhir Januari lalu, sebahagiannya merujuk kepada ladang Epstein di New Mexico.

Al Jazeera memperoleh surat-menyurat dan gambar daripada pemberi maklumat melalui permohonan rekod awam dengan Jabatan Kehakiman New Mexico.

Dalam e-mel bertarikh 16 Februari, seorang individu yang identitinya dirahsiakan memaklumkan kepada wakil Demokrat, Andrea Romero dan Marianna Anaya bahawa dia mencerobih ladang milik Epstein pada 2020 dan menemukan beberapa petak tanah yang digali.

Pemberi maklumat itu, yang turut menyertakan dua gambar petak didakwa dalam e-mel berkenaan, membuat spekulasi mayat dikeluarkan dari lokasi tersebut.

“Saya sedar ini mungkin menyalahi undang-undang,” tulis individu itu merujuk kepada tindakannya memasuki kawasan berkenaan.

Pemberi maklumat itu turut berkongsi gambar bahagian luar rumah agam Epstein serta sebuah yurt putih di kawasan ladang berkenaan, selain imej sebuah alat perubatan dan patung lelaki berwajah Afrika yang didakwa diambil dari dalam khemah tersebut.

“Dalam yurt putih itu, mereka mungkin melakukan ritual sehingga merasakan perlu ada alat defibrilator,” tulis individu berkenaan.

Romero, yang mengetuai suruhanjaya dwipartisan bagi menyiasat aktiviti Epstein di New Mexico, kemudian memanjangkan maklumat tersebut kepada Pengarah Siasatan Khas Jabatan Kehakiman New Mexico, Kyle Hartsock, dengan memaklumkan maklumat itu sedang diteliti.

Apabila dihubungi, Romero berkata, beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai kredibiliti dakwaan tersebut.

“Kami akan mendapatkan butiran mengenai kesahihan sebarang dakwaan ketika siasatan dijalankan. Saya tidak dapat memberikan sebarang konteks tambahan atau penjelasan lanjut berhubung e-mel yang anda rujuk,” katanya kepada Al Jazeera.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN