WASHINGTON: Sepasang ibu dan anak di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian ramai selepas nekad menolak tawaran wang berjumlah lebih AS$26.5 juta (RM104.13 juta) daripada pemaju yang ingin membeli tanah ladang mereka bagi projek pusat data gergasi.
Ida Huddleston, 82, dan anak perempuannya, Delsia Bare, 54, memiliki hartanah bersebelahan di Mason County, lokasi di mana pemaju yang dikaitkan dengan syarikat teknologi gergasi sedang giat mengumpul tanah untuk projek skala besar.
Beliau yang memiliki 28 hektar tanah, mendedahkan ditawarkan AS$60,000 (RM235,760) bagi setiap 0.4 hektar, menjadikan nilai keseluruhan hartanahnya sekitar AS$4.26 juta (RM16.73 juta).
Meskipun dihujani tawaran berulang kali, beliau tetap dengan pendiriannya untuk tidak menjual.
“Apa yang mereka cadangkan dan lakukan ini bukan lagi satu urusan perniagaan, ia adalah gangguan mental,” kata Ida kepada saluran berita LEX 18.
Beliau menegaskan bahawa nilai sentimental tanah tersebut jauh lebih berharga daripada wang.
“Saya kata saya tak mahu duit mereka. Saya tidak perlukannya, tetapi saya rasa kasihan kepada semua orang di sekeliling kami yang akan terkesan dengan projek ini,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Delsia, turut menolak tawaran yang jauh lebih besar bagi ladangnya seluas 187 hekkar.
Pemaju menawarkan AS$48,000 (RM188,622) bagi setiap 0.4 hektar, yang berjumlah kira−kira AS$22.2 juta (RM87.23 juta). Jika digabungkan, nilai tawaran untuk kedua-dua hartanah tersebut mencecah lebih RM104 juta.
Kebimbangan mereka bertambah apabila identiti syarikat di sebalik projek pusat data tersebut masih dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada umum.
Delsia berpendapat ketiadaan ketelusan ini menyukarkan penduduk setempat untuk memahami impak sebenar pembangunan tersebut terhadap komuniti mereka.
“Bila mereka enggan mendedahkan siapa mereka, itu adalah faktor besar untuk menentukan apa yang bakal berlaku dengan baki hidup anda, sama ada anda terpaksa kekal di sini atau memilih untuk pergi,” jelas Delsia. -AGENSI










