Harga minyak melonjak, pembelian panik bahan api berlaku di Eropah

Harga minyak melonjak, pembelian panik bahan api berlaku di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Harga minyak terus melonjak untuk hari ketiga berturut-turut susulan konflik di Iran, dengan beberapa negara di Eropah menyaksikan orang ramai melakukan pembelian panik bahan api.

Barisan panjang kenderaan dilihat di wilayah Andalusia di Sepanyol, dengan puluhan kereta di Sevilla menunggu untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak sebelum harga meningkat lagi.

Di Jerez, kawasan stesen minyak menjadi sangat sesak kerana ramai orang cuba mengisi minyak kenderaan mereka.

Persatuan pengguna Sepanyol, OCU, memberi amaran perang di Asia Barat boleh menyebabkan harga bahan api meningkat antara 8 hingga 10 sen seliter dalam beberapa minggu akan datang.

Di Jerman pula, di mana harga sudah melebihi 2 euro (RM9.16) seliter, ramai pemandu bergegas ke negara jiran, Republik Czech, kerana harga minyak di sana lebih murah.

Kekecohan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di sempadan dan beberapa stesen minyak dilaporkan sudah kehabisan bekalan.

Barisan panjang juga dilihat di Britain, termasuk di Liverpool, Manchester dan selatan London, apabila pemandu berebut-rebut mengisi minyak.

Pada masa yang sama, tindakan pedagang yang tergesa-gesa menjual pelbagai aset di seluruh dunia minggu ini hampir mencetuskan keadaan tidak terkawal ketika mereka cuba memahami kesan harga tenaga yang dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang lama.

Keadaan kejatuhan di satu bahagian pasaran turut merebak ke bahagian lain apabila pelabur cuba menampung kerugian di tempat lain dan mengurangkan risiko.

Malah emas yang biasanya dianggap aset selamat turut jatuh lebih 4 peratus pada Selasa, walaupun kembali meningkat 1.5 peratus pada Rabu kepada AS$5,155 (RM20,332) seauns.

Di tengah-tengah perkembangan ini, penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$83.76 (RM330) setong pada Rabu, meningkat untuk hari ketiga berturut-turut, walaupun lebih rendah daripada paras tertinggi pada Selasa selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata Tentera Laut AS boleh mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz jika perlu.

Bagaimanapun, pemilik kapal dan penganalisis masih tidak pasti sejauh mana langkah itu praktikal.

Dalam wawancara dengan program Today di BBC, Pakar Strategi Pelaburan syarikat pengurusan kekayaan Quilter, Lindsay James berkata, pelabur kini melihat kebarangkalian konflik ini berlanjutan lebih lama semakin meningkat.

Namun beliau menambah tahap harga gas ketika ini masih belum seteruk yang pernah dilihat ketika Russia menyerang Ukraine pada 2022.

Iran berikrar menutup Selat Hormuz serta mengancam akan membakar setiap kapal yang cuba melaluinya, yang berpotensi melonjakkan harga minyak kepada AS$200 (RM788) setong.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik utama bagi penghantaran minyak dan gas dari Asia Barat, merangkumi kira-kira satu perlima perdagangan gas asli cecair (LNG) dunia.

Dalam hantaran di Truth Social pada Selasa, Trump berkata, beliau telah mengarahkan United States Development Finance Corporation (DFC) menyediakan insurans risiko politik dan jaminan kewangan untuk semua perdagangan maritim, terutama penghantaran tenaga melalui Teluk.

Beliau turut berkata, Tentera Laut AS boleh mula mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz secepat mungkin jika perlu bagi memastikan aliran tenaga global terus berjalan.

Tekanan pasaran pada Rabu paling ketara dirasai di Korea Selatan apabila indeks penanda aras KOSPI merosot 12 peratus, kejatuhan terbesar dalam sejarahnya. Korea Selatan sangat bergantung kepada minyak dari Asia Barat.

Pengasas firma penyelidikan pasaran kewangan Satori Insights, Matt King, berkata, banyak tempat yang sebelum ini menjadi sasaran kepelbagaian pelaburan kini kelihatan paling terdedah selepas serangan ke atas Iran.

Ketua strategi pelaburan Saxo di Singapura, Charu Chanana, berkata, fasa ‘jual apa sahaja yang boleh dijual’ kini semakin merebak di pasaran.

Beliau menambah kejatuhan pasaran Asia semakin tidak teratur kerana pelabur tidak lagi melihat konflik ini sebagai sekadar kejutan berita jangka pendek.

Namun di Eropah, indeks luas STOXX 600 meningkat 0.6 peratus pada Rabu, walaupun sebelum itu jatuh 4.6 peratus dalam dua hari, kejatuhan dua hari terbesar sejak krisis tarif pada April 2025.

Harga gas penanda aras di Eropah juga mula stabil pada Rabu, walaupun masih kira-kira 75 peratus lebih tinggi berbanding penutupan Jumaat lalu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN