Harga minyak melebihi AS$100 setong masih sangat kecil untuk dibayar - Trump

Harga minyak melebihi AS$100 setong masih sangat kecil untuk dibayar – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa harga minyak melebihi AS$100 (RM396.39) setong merupakan ‘harga yang sangat kecil’ untuk dibayar bagi peperangan terhadap Iran.

Kenyataan itu dibuat selepas harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$100 (RM396.39) setong pada Ahad, mencatatkan kenaikan harian terbesar sejak permulaan pandemik Covid-19 pada 2020.

Sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS dan Israel, Iran menutup Selat Hormuz serta menyerang kapal tangki yang cuba melalui laluan tersebut, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait yang merupakan pengeluar minyak utama turut mengurangkan pengeluaran selepas kehabisan ruang simpanan.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump memperkecilkan kesan peperangan itu terhadap perdagangan global.

“Harga minyak jangka pendek, yang akan turun dengan cepat apabila ancaman nuklear Iran dimusnahkan, adalah harga yang sangat kecil untuk dibayar demi keselamatan dan keamanan AS serta dunia. Hanya orang bodoh yang berfikir sebaliknya,” tulisnya.

Ketika kempen pemilihan semula, Trump berjanji untuk menurunkan harga petrol dan mengelakkan peperangan yang mahal.

Namun menurut data Persatuan Automobil Amerika (AAA), harga purata nasional petrol biasa meningkat 15 peratus sepanjang minggu lalu kepada AS$3.45 (RM13.67) segelen, dengan beberapa kawasan melaporkan kenaikan hampir 30 peratus.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, pada Jumaat Washington sedang meneroka langkah tambahan untuk menurunkan harga minyak.

Sementara itu, Setiausaha Tenaga, Chris Wright berikrar untuk menurunkan semula harga petrol di bawah AS$3 (RM11.89) segelen dalam masa terdekat.

Minggu lalu, Jabatan Perbendaharaan secara rasmi membenarkan India membeli minyak dari Russia buat sementara waktu, dengan Bessent menyatakan AS mungkin akan menarik balik sekatan terhadap lebih banyak eksport tenaga Russia.

Ketua Ekonomi JPMorgan, Bruce Kasman memberitahu Reuters, dalam senario jangka terdekat, harga minyak mentah boleh melonjak sehingga AS$120 (RM475) setong sebelum stabil pada sekitar AS$80 (RM317) setong sehingga pertengahan tahun sekiranya konflik berterusan.

Sementara itu, utusan pelaburan presiden Russia, Kirill Dmitriev berkata, harga minyak boleh melepasi AS$200 (RM792) setong sekiranya konflik berpanjangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN