Harga diesel tidak masuk akal di Vietnam - Utusan Malaysia

Harga diesel tidak masuk akal di Vietnam

BEBERAPA orang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Hanoi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Harga diesel di Vietnam telah meningkat lebih dua kali ganda sejak bermulanya perang di Asia Barat, menurut angka yang dikeluarkan oleh kementerian perdagangan pada Rabu.

Harga diesel melonjak sekitar 105 peratus sejak 26 Februari, dua hari sebelum Amerika Syarikat  (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran. 

Kerajaan menaikkan harga kepada 39,660 dong (RM5.95) seliter pada Rabu, meningkat daripada 19,270 dong (RM2.89) bulan lalu, menurut data kementerian perdagangan.

Harga petrol RON 95 juga meningkat hampir 68 peratus dalam tempoh yang sama, daripada 20,150 dong (RM3) kepada 33,840 dong (RM5) seliter.

Lonjakan harga minyak sejak bermulanya perang telah menyebabkan kos bahan api meningkat mendadak dan mencetuskan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan di seluruh dunia.

Vietnam baru-baru ini telah meminta sokongan bahan api daripada beberapa negara, termasuk Qatar, Kuwait, Algeria dan Jepun.

Pada Isnin, negara itu  menandatangani perjanjian dengan Russia mengenai pengeluaran minyak dan gas di kedua-dua negara.

Kementerian kewangan negara itu pada Selasa mencadangkan supaya cukai perlindungan alam sekitar ke atas petrol dan diesel dikurangkan separuh.

Seorang penduduk Hanoi, Nguyen Van Chi, berkata pada Rabu bahawa beliau tidak memandu trak miliknya dalam tempoh dua minggu lalu, sebaliknya memilih untuk berbasikal sebanyak mungkin.

“Dengan harga diesel yang tidak masuk akal ini, saya bahkan tidak boleh menjual trak saya kerana tiada siapa yang akan menggunakannya,” kata ahli perniagaan berusia 54 tahun itu kepada AFP. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN