NEW YORK: Hakim Amerika Syarikat (AS) Alvin Hellerstein yang menyelia kes terhadap bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, merupakan seorang tokoh perundangan berusia 92 tahun yang dikenali dengan ketegasannya serta senarai panjang kes berprofil tinggi dalam profil kerjayanya.
Namun, sebagai salah seorang hakim persekutuan tertua di AS yang dilahirkan pada tahun 1933, beberapa pihak mula mempersoalkan sama ada beliau adalah individu paling sesuai untuk mengendalikan perbicaraan panjang membabitkan pertuduhan pengedaran dadah terhadap Maduro.
“Isu usia tidak boleh diabaikan,” kata Shira Scheindlin, bekas hakim persekutuan di New York kepada AFP.
Bagaimanapun, beliau tetap memuji Hellerstein sebagai seorang pengendali kamar mahkamah yang sangat bijak dan berpengalaman.
Kerjaya panjang Hellerstein merangkumi penyeliaan kes sivil berkaitan serangan pengganas 11 September 2001 di New York dan Washington, di mana beliau sering menolak tawaran penyelesaian yang dianggap tidak adil kepada pengadu.
Hellerstein juga pernah berdepan dengan Donald Trump apabila menolak permohonan Presiden AS itu untuk memindahkan kes ‘wang tutup mulut’ New York ke mahkamah persekutuan.
Malah tahun lalu, beliau menghalang pentadbiran Trump daripada menghantar pulang ahli kumpulan kongsi gelap Venezuela tanpa pendengaran mahkamah.
“Hellerstein memiliki reputasi yang sewajarnya dalam menegakkan keadilan bagi setiap kes, selain bersifat bebas dan adil,” kata profesor undang-undang Carl Tobias dari Universiti Richmond.
Dalam satu penghakiman penting pada 2015, Hellerstein mengarahkan kerajaan AS menerbitkan koleksi gambar yang memaparkan penderaan tahanan di Iraq dan Afghanistan.
Beliau juga mengetuai perbicaraan tahun lalu yang mendapati gergasi perbankan Perancis, BNP Paribas, telah membantu menyokong rejim bekas pemerintah Sudan, Omar al-Bashir.
Hellerstein telah mengendalikan kes pengedaran dadah besar yang dikaitkan dengan Maduro selama lebih sedekad, yang mana sebelum ini telah menyaksikan sabitan ke atas bekas ketua perisikan Venezuela, Hugo Armando Carvajal.
Penangkapan mengejut Maduro pada Januari lalu susulan serbuan AS di kediamannya di Venezuela kini meletakkan tumpuan awam sepenuhnya kepada kes ini dan juga hakim veteran yang mengetuainya. – AFP











