DOHA: Dua gelombang serangan Iran menyebabkan kerosakan besar di hab gas utama Qatar, menurut syarikat tenaga milik negara itu pada Khamis, ketika Amerika Syarikat (AS), Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Iran supaya tidak melancarkan serangan lanjut ke atas kemudahan tersebut.
Teheran sebelum ini berikrar untuk menyasarkan infrastruktur tenaga di seluruh Teluk selepas satu serangan yang menurut Trump dilakukan oleh Israel ke atas kemudahan gas di medan South Pars, bahagian Iran. Ia merupakan rizab gas terbesar di dunia.
Serangan peluru berpandu ke atas Bandar Perindustrian Ras Laffan di pantai utara Qatar pada Rabu menyebabkan kerosakan kepada kemudahan gas negara tersebut.
Menurut syarikat QatarEnergy dalam satu kenyataan, ia mencetuskan kebakaran besar dan kerosakan tambahan yang meluas ke atas beberapa fasiliti gas asli cecair (LNG).
Kementerian Dalam Negeri Qatar berkata, pasukan penyelamat telah berjaya mengawal semua kebakaran di tapak Ras Laffan tanpa sebarang laporan kecederaan.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan negara itu menyatakan bahawa Qatar telah diserang dengan peluru berpandu balistik dari Iran yang menyasarkan hab tenaga tersebut.
Sementara itu, agensi maritim United Kingdom (UK) melaporkan bahawa satu objek peluru mengenai sebuah kapal berhampiran Ras Laffan, namun semua kru selamat.
Qatar merupakan antara pengeluar utama LNG dunia, bersama AS, Australia dan Russia.
Menyentuh serangan Iran itu, Trump melalui platform media sosialnya, Truth Social mengancam untuk memusnahkan sepenuhnya medan gas South Pars sekiranya serangan lanjut berlaku di Ras Laffan.
Beliau berkata, Israel bertanggungjawab terhadap serangan ke atas South Pars, namun kerajaan Israel tidak memberi sebarang komen.
Negara-negara Teluk menanggung kesan utama serangan balas Iran terhadap serangan AS-Israel yang mencetuskan perang Asia Barat pada akhir Februari dengan Teheran menyasarkan aset Amerika dan kemudahan tenaga.
Kejutan tenaga yang dibimbangi akibat perang ini telah menggoncang pasaran antarabangsa dan menaikkan harga di seluruh dunia.
Harga minyak melonjak lebih lima peratus pada Khamis berikutan kebimbangan bekalan, manakala pasaran saham merosot apabila berita serangan ke atas kemudahan tenaga Teluk menakutkan pelabur.
Pihak berkuasa Qatar berkata. tiada kecederaan dilaporkan akibat serangan di Ras Laffan, yang mencetuskan kebakaran besar sehingga menerangi langit malam dan dapat dilihat dari kira-kira 30 kilometer, menurut wartawan AFP.
Dalam satu kenyataan selepas gelombang pertama serangan, Kementerian Luar Qatar mengecam apa yang disifatkan sebagai serangan kejam Iran yang menyasarkan Ras Laffan dan menyatakan ia merupakan ancaman langsung terhadap keselamatan negara.
Kementerian itu berkata, sejumlah pegawai tentera dan keselamatan Iran serta kakitangan mereka diarahkan meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam. – AFP










