CALIFORNIA: Pakar menyifatkan gelombang haba yang melanda bahagian barat Amerika Syarikat (AS) sejak Jumaat sebagai satu fenomena jarang berlaku dan hanya dikesan sekali dalam tempoh 500 tahun.
Suhu ekstrem ini memecahkan pelbagai rekod sepanjang minggu ini dan dijangka berterusan sehingga hujung minggu di seluruh bandar-bandar barat sebelum beralih ke arah timur.
Empat lokasi di kawasan padang pasir berhampiran sempadan negeri California-Arizona mencatatkan suhu 44.4 darjah Celsius pada Jumaat, sekali gus menetapkan rekod kebangsaan baharu bagi bulan Mac di AS.
Lokasi-lokasi tersebut terletak berhampiran bandar Yuma dan Tasik Martinez di Arizona, serta di sekitar Winterhaven dan Ogilby di California. Setakat ini, 65 buah bandar mencatatkan paras tertinggi baharu bagi bulan Mac, merangkumi kawasan dari Arizona dan California hingga ke Idaho, lapor Weather.com.
Seorang penduduk Los Angeles, Terry Salas berkata, keadaan cuaca di seluruh AS dalam beberapa minggu kebelakangan ini sangat luar biasa.
“Ini sangat luar biasa. Kita masih dalam musim sejuk tetapi ini pemanasan global. Pantai Timur dilanda puting beliung dan salji, manakala di sini, kita pula mengalami cuaca panas terik.
“Kami mengalami suhu seperti musim panas yang langsung tidak pernah berlaku pada bulan Mac,” katanya.
Death Valley mencatatkan suhu panas 40 darjah Celsius pada Khamis, manakala San Francisco yang biasanya sejuk dan berkabus menyamai rekod sejarah Mac pada 29 darjah Celsius dengan pemain ski di Colorado dilihat meluncur tanpa memakai baju.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran haba ekstrem pada Jumaat bagi sebahagian besar kawasan barat daya, bermula dari Los Angeles dan pesisir selatan California hingga ke ibu kota padang pasir, Las Vegas.
Amaran juga dikeluarkan agar tidak meninggalkan kanak-kanak atau haiwan peliharaan di dalam kenderaan. Haba luar biasa ketika musim sejuk baru sahaja berakhir ini turut membimbangkan pemerhati iklim.
“Gelombang haba ini hampir mustahil untuk berlaku pada waktu sebegini. Penemuan ini tidak memberi ruang kepada keraguan. Perubahan iklim sedang menolak cuaca ke tahap ekstrem yang tidak terbayang dalam dunia pra-industri.
“Di Barat AS, musim-musim yang biasa dilalui oleh manusia dan alam semula jadi selama berabad-abad kini menghilang, sekali gus membahayakan ramai pihak, termasuk pekerja luar dan mereka yang tidak mempunyai penyaman udara.
“Ancaman ini bukan sesuatu yang jauh, ia sudah ada di sini, semakin meruncing dan dasar kita mesti selari dengan realiti,” kata rangkaian saintis iklim World Weather Attribution dalam satu laporan. -AFP











