TEHERAN: Eksport minyak Iran melebihi 1.5 juta tong sehari pada bulan Ramadan walaupun terdapat kesan daripada perang yang sedang berlangsung antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS)-Israel, menurut Tasnim News Agency.
Menurut agensi berita itu pada Khamis, ia menandakan peningkatan kira-kira 50 peratus dalam jualan berbanding tahap sebelumnya.
Agensi itu berkata Iran telah menjual jumlah minyak yang lebih besar pada harga yang lebih hampir kepada penanda aras global, secara langsung meningkatkan hasil minyak negara.
Peningkatan ini berlaku ketika pasaran tenaga global mengalami volatiliti yang ketara berkaitan dengan perang yang sedang berlangsung dan keputusan Iran untuk mengehadkan bilangan kapaldi Selat Hormuz, salah satu laluan transit minyak paling kritikal di dunia.
Sekitar 20 juta tong minyak melalui selat ini setiap hari, dan sekatan tersebut telah meningkatkan kos penghantaran dan insurans, menyumbang kepada harga minyak yang lebih tinggi serta tekanan inflasi di seluruh dunia.
Menurut Asharq Business yang memetik Bloomberg, Iran kemungkinan telah menjana ratusan juta dolar tambahan sejak tercetusnya perang,.
Para pelabur kekal bimbang tentang ketidakpastian yang semakin meningkat di pasaran global kerana kemudahan tenaga di negara-negara Teluk dan Iran terus menghadapi risiko serangan.
Mereka juga bimbang bahawa infrastruktur tenaga Iran mungkin menjadi sasaran dalam kemungkinan serangan oleh AS-Israel. – AGENSI











