WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap sebuah bot yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di timur Lautan Pasifik pada Ahad, mengorbankan enam lelaki.
Menurut Komando Selatan Amerika Syarikat (SOUTHCOM), serangan itu diarahkan oleh komandernya, Jeneral Marin Francis L. Donovan yang menyasarkan sebuah bot yang didakwa dikendalikan oleh organisasi pengganas.
“Enam lelaki pengganas narkotik terbunuh dalam tindakan ini. Tiada anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang cedera,” menurut kenyataan SOUTHCOM dalam hantaran di platform X.
SOUTHCOM mendakwa bot berkenaan sedang menjalankan operasi penyeludupan dadah dan bergerak di laluan yang diketahui sering digunakan untuk kegiatan tersebut. Bagaimanapun, tiada bukti lanjut dikemukakan bagi menyokong dakwaan itu.
Sejak September tahun lalu, AS melancarkan lebih 40 serangan di Laut Caribbean dan timur Lautan Pasifik yang mengorbankan lebih 140 orang.
Serangan terbaharu sebelum ini berlaku pada 23 Februari yang mengorbankan tiga orang.
Pentadbiran Presiden, Donald Trump mempertahankan tindakan tersebut dengan menyatakan ia demi kepentingan keselamatan negara, khususnya untuk menghalang kemasukan dadah haram ke AS.
Namun, langkah itu mendapat kritikan daripada beberapa ahli perundangan dan kumpulan advokasi yang mempersoalkan asas perundangan bagi serangan berkenaan.
Serangan pada Ahad itu berlaku hanya beberapa hari selepas lawatan terbaharu Setiausaha Dalam Negeri, Doug Burgum bertemu dengan pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez.
Pada Sabtu, Trump secara rasmi mengiktiraf Rodríguez sebagai Presiden Venezuela dan mengumumkan AS kini mengiktiraf kerajaan baharu negara itu selepas penyingkiran Nicolás Maduro.
Trump turut berkata Washington dan Caracas mencapai satu perjanjian emas bersejarah yang membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dalam memudahkan penjualan emas serta mineral Venezuela.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika Sidang Kemuncak Shield of the Americas di Miami yang menghimpunkan pemimpin beberapa negara Amerika Latin yang sehaluan untuk membincangkan strategi memerangi perdagangan dadah.-AGENSI










