EDWARDSBURG: Sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan maut dan lebih 12 lagi cedera selepas puting beliung melanda Michigan dan Oklahoma, ketika ribut teruk membadai beberapa kawasan di Amerika Syarikat (AS).
Pegawai berkata, empat orang maut di selatan Michigan, termasuk seorang budak lelaki berusia 12 tahun, manakala empat lagi meninggal dunia di Oklahoma pada Jumaat, dengan pasukan penyelamat terus menilai kerosakan.
Ribut itu menumbangkan pokok, memutuskan talian elektrik, merosakkan bangunan dan merobohkan bumbung beberapa rumah sejak Jumaat.
Perkhidmatan Cuaca Negara (NWS) berkata, cuaca buruk itu mungkin berterusan sehingga hujung minggu, dengan amaran tentang ribut petir dan banjir kilat dari Great Plains hingga Texas dan ratusan orang dilaporkan terputus bekalan elektrik.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan pusaran besar angin puting beliung melintasi Union City, dengan serpihan besar dan debu terbang merentasi tempat letak kereta di bandar Three Rivers.
Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer mengisytiharkan kecemasan negeri untuk daerah Branch, Cass dan St Joseph.
Gabenor Oklahoma, Kevin Stitt juga mengisytiharkan kecemasan negeri untuk daerah Alfalfa, Creek, Grant, Major, Okmulgee, Rogers, Tulsa, dan Wagoner bagi memastikan pendudukmendapat sokongan dan sumber yang diperlukan selepas dilanda bencana cuaca itu.
Pegawai pengurusan kecemasan berkata, pasukan tempatan terus mencari kawasan yang rosak dan memulakan usaha pemulihan.
Di Oklahoma, pengurus kecemasan daerah itu, Jeff Moore berkata, angin puting beliung mencetus kerosakan sepanjang kira-kira 6.4 km di daerah Okmulgee dan 48 km di selatan Tulsa.-AGENSI










