BEKASI: Pasukan penyelamat Indonesia mengesahkan sekurang-kurangnya empat orang maut selepas tertimbus runtuhan sisa pepejal yang menyamai ketinggian gunung di tapak pelupusan sampah terbesar di negara itu.
Pihak berkuasa menggerakkan pasukan gabungan terdiri daripada polis, tentera, unit mencari dan menyelamat (SAR), serta sukarelawan untuk mengesan mangsa yang terperangkap di bawah timbunan sampah yang runtuh.
Beberapa jentera dan jengkaut turut digunakan bagi mempercepatkan proses mencari dan menyelamat.
Ketua Polis Metro Bekasi, Kusumo Wahyu Bintoro memaklumkan mangsa keempat yang ditemukan di lokasi kejadian merupakan seorang pemandu lori sampah.
“Sebentar tadi, mayat keempat berjaya dikeluarkan. Mangsa dikenal pasti sebagai seorang pemandu lori sampah,” kata Kusumo.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengesahkan sama ada terdapat lagi mangsa tambahan yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut.
Operasi mencari diteruskan namun dijalankan dengan penuh berhati-hati ekoran risiko timbunan sampah tersebut masih tidak stabil selepas hujan lebat.
“Kami sedang menilai situasi di lokasi. Jika keadaan mengizinkan, kami akan meneruskan operasi menyelamat,” tambah Kusumo.
Tiga lagi mangsa yang maut sebelum ini dikenal pasti sebagai seorang lagi pemandu lori sampah, Dedi Sutrisno, serta dua pemilik gerai makanan yang beroperasi berhampiran tapak tersebut, iaitu Enda Widayanti, 25, dan Sumine, 60.
Ketua Pejabat SAR Jakarta, Desiana Kartika Bahari menyatakan runtuhan itu menimbus beberapa buah lori sampah dan gerai makanan di tepi jalan berhampiran kawasan pelupusan.
“Masih banyak lori sampah dan gerai yang tertimbus di kawasan ini. Kami sedang menjalankan pengumpulan data untuk menentukan jumlah sebenar mangsa yang terlibat,” kata Desiana.
Pihak berkuasa masih menjalankan penilaian di tapak kejadian bagi mengenal pasti sama ada terdapat lagi mangsa yang terperangkap serta jumlah kenderaan yang terjejas akibat bencana tersebut. -AGENSI










