RIYADH: Dua orang dilaporkan maut manakala 12 lagi cedera selepas satu peluru berpandu terjatuh di sebuah kawasan kediaman di wilayah Al-Kharj, Arab Saudi.
Jurucakap rasmi Pertahanan Awam memaklumkan unit kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian selepas sebuah senjata ketenteraan jatuh di tapak kediaman milik sebuah syarikat penyelenggaraan dan pembersihan di kawasan tersebut.
Lapor Arab News, insiden itu turut menyebabkan kerosakan harta benda di lokasi berkenaan.
Dua mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai warganegara India dan Bangladesh.
Kesemua 12 individu yang cedera pula merupakan penduduk warganegara Bangladesh.
Sementara itu, kementerian pertahanan turut melaporkan dua dron yang menuju ke fasiliti minyak Shaybah di tenggara negara dipintas dan dimusnahkan.
AS mengumumkan pada Ahad, kakitangan kedutaan diarahkan meninggalkan Arab Saudi susulan serangan Iran terhadap negara itu.
Jabatan Negara mengeluarkan amaran perjalanan dan menyatakan kakitangan kerajaan AS bukan kecemasan dan ahli keluarga mereka diarahkan meninggalkan Riyadh berikutan risiko keselamatan.
Pihak jurucakap menegaskan sebarang cubaan untuk menyasarkan objek awam merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau turut menambah prosedur standard yang ditetapkan bagi mengendalikan kes-kes seperti ini telah dilaksanakan sepenuhnya.










