DOHA: Gelombang baharu letupan, kebanyakannya daripada pintasan peluru berpandu, turut menggegarkan Doha, Qatar dab Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.
Di Doha, wartawan AFP melihat kepulan asap naik ke udara dan melaporkan bunyi letupan kuat di seluruh bandar.
Kepulan asap dilihat menjulang tinggi di Yas Marina yang terkenal di dunia di Abu Dhabi akibat serangan Iran.
Serpihan dron yang dipintas turut dilaporkan mencederakan enam orang di ibu negara UAE tersebut.
Penduduk di Abu Dhabi melaporkan terdengar beberapa siri letupan kuat, dan pihak berkuasa berkata, sistem pertahanan udara sedang bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu.
Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengumumkan bahawa pasukannya telah menyerang sebuah kapal pengangkut dron milik Iran, yang menurutnya kira-kira sebesar kapal pengangkut pesawat era Perang Dunia Kedua.
Ia turut berkongsi rakaman serangan tersebut, yang menunjukkan tentera menyasarkan kapal itu dengan tepat.
Beberapa saat kemudian, kepulan asap tebal kelihatan menjulang ke langit dari bahagian tengah kapal itu dan serpihan mula jatuh.
Satu lagi kepulan asap kemudian muncul di bahagian lain kapal tersebut, ketika CENTCOM menyatakan bahawa kapal itu sedang terbakar.
“Pasukan Amerika tidak akan berundur dalam misi untuk menenggelamkan keseluruhan Tentera Laut Iran,” katanya memberi amaran. – AFP/AGENSI










