Cuba lapor kematian kelima insiden tembakan bot laju AS

Cuba lapor kematian kelima insiden tembakan bot laju AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Pihak berkuasa Cuba memaklumkan anggota kru kelima sebuah bot laju berbendera Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam insiden tembak-menembak dengan pengawal pantai minggu lalu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Pihak pendakwa raya telah memfailkan pertuduhan keganasan terhadap anggota kru bot terselamat yang disyaki cuba membawa masuk senjata ke Cuba dengan harapan untuk menggugat kestabilan kerajaan komunis di Havana.

Menurut kenyataan kementerian dalam negeri menerusi televisyen kerajaan, salah seorang daripada enam mangsa yang terselamat, dikenal pasti sebagai Roberto Alvarez Avila, meninggal dunia pada Rabu akibat luka yang dialaminya.

Insiden itu berlaku pada 25 Februari apabila bot pengawal pantai menghampiri untuk meminta dokumen pengenalan diri, namun kru bot terbabit bertindak balas dengan melepaskan tembakan.

Pengawal pantai Cuba kemudian menembak mati empat individu lain di atas bot tersebut, yang berada dalam jarak satu batu nautika dari pesisiran pantai pulau Caribbean itu.

Pegawai Cuba menyatakan bot laju tersebut yang didaftarkan di AS, membawa pelbagai kaliber senjata api termasuk 14 laras raifal, 11 pucuk pistol dan hampir 13,000 butir peluru.

Kementerian dalam negeri memaklumkan siasatan terhadap insiden itu sedang berjalan dengan kerjasama pihak berkuasa AS, termasuk perkongsian bukti dan tindakan bersama yang lain.

Sekurang-kurangnya dua daripada individu di atas bot laju tersebut merupakan warganegara AS, di mana salah seorang daripada mereka telah terbunuh.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump tidak merahsiakan hasratnya untuk perubahan rejim di Cuba, termasuk mengenakan sekatan tenaga.

Tindakan itu dibuat selepas penyingkiran autokrat berhaluan kiri, Nicolas Maduro di Venezuela yang merupakan pembekal utama minyak kepada pulau komunis tersebut. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN