BEIJING: China pada Khamis mengumumkan peningkatan tujuh peratus dalam bajet pertahanannya bagi tahun 2026, ketika negara itu terus meningkatkan perbelanjaan ketenteraan secara berperingkat bagi menandingi Amerika Syarikat (AS) dan menguatkuasakan tuntutannya ke atas Taiwan serta Laut China Selatan.
Beijing merancang untuk membelanjakan 1.9 trilion yuan (RM1 trilion) bagi pertahanan, menurut laporan yang diterbitkan pada pembukaan mesyuarat parlimen tahunan di Beijing.
Bagaimanapun, kuasa Asia itu sedang berusaha untuk merapatkan jurang tersebut.
Perdana Menteri, Li Qiang berkata, China akan menumpukan usaha untuk memperkukuh tentera dan melaksanakan projek besar berkaitan pertahanan sepanjang tempoh lima tahun akan datang.
Penganalisis berkata, bajet itu akan membiayai kenaikan gaji tentera, latihan, taktital ketenteraan di sekitar Taiwan, keupayaan peperangan siber dan pembelian peralatan canggih.
Kenaikan itu menandakan kesinambungan dasar Beijing, yang sedang melaksanakan pembersihan rasuah besar-besaran dalam Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), termasuk penggulingan jeneral tertinggi, Zhang Youxia, pada Januari lalu.
“China mengamalkan dasar luar yang bebas dan berdikari. Bagaimanapun, tanpa keupayaan ketenteraan yang mantap dan kehebatan teknologi, pendirian diplomatik kita pasti akan terdedah tekanan atau ditentukan oleh negara tertentu, termasuk AS,” kata pengulas tentera, Song Zhongping, kepada AFP.
Beliau berkata, PLA juga perlu memperkukuh keupayaan untuk memulihkan sepenuhnya bidang kuasa China ke atas Kepulauan Spratly yang dipertikaikan, rangkaian terumbu kaya sumber semula jadi di Laut China Selatan dan turut dituntut Filipina.
AS merupakan negara dengan perbelanjaan ketenteraan terbesar di dunia, iaitu sebanyak AS$997 bilion (RM5.2 trilion) pada 2024, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).
China mengekalkan peningkatan perbelanjaan ketenteraan yang stabil sekitar tujuh hingga lapan peratus setiap tahun sejak 2016.
Namun, perbelanjaan ketenteraan negara itu sebagai peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal sederhana.
Menurut SIPRI, bajet pertahanan China berada pada 1.7 peratus daripada KDNK pada 2024.
Ia berada jauh di belakang AS yang mencatat 3.4 peratus dan Russia sebanyak 7.1 peratus daripada KDNK.
Beijing mendakwa, dasar pertahanannya bertujuan semata-mata untuk melindungi wilayahnya, termasuk Taiwan yang memerintah sendiri. – AGENSI










