BRASILIA: Hakim Mahkamah Agung Brazil pada Selasa meluluskan permohonan bekas presiden negara itu, Jair Bolsonaro untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah buat sementara waktu.
Permohonan itu diluluskan selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan bagi penyakit bronchopneumonia.
“Saya membenarkan tahanan rumah atas dasar kemanusiaan untuk tempoh awal selama 90 hari,” kata Hakim Alexandre de Moraes dalam dokumen mahkamah yang diperoleh AFP.
Beliau menambah bahawa tempoh tersebut boleh diperbaharui jika terdapat keperluan perubatan.
Bekas presiden berhaluan kanan berusia 71 tahun itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 27 tahun pada September tahun lalu atas percubaan rampasan kuasa pada tahun 2022.
Isterinya, Michelle Bolsonaro, memuat naik hantaran “Terima kasih, Tuhan!” di Instagram sejurus selepas keputusan hakim itu dibuat. Sejak pertengahan Januari, Bolsonaro telah menjalani hukumannya di kompleks penjara Papuda di Brasilia.
Bagaimanapun, pada 13 Mac lalu, beliau dihantar ke sebuah klinik swasta di ibu negara selepas jatuh sakit di dalam sel penjaranya.
Selepas lebih seminggu menerima rawatan, beliau dipindahkan ke bilik pesakit biasa pada Isnin, manakala pasukan peguamnya memfailkan petisyen memohon tahanan rumah atas faktor kesihatan.
Dalam penghakimannya, hakim menetapkan bahawa Bolsonaro wajib memakai peranti pemantauan elektronik dan dilarang menggunakan telefon atau media sosial untuk berkomunikasi.
Beliau hanya dibenarkan menerima kunjungan daripada ahli keluarga, peguam dan doktor.
Menurut pasukan perubatan, jangkitan yang dialami Bolsonaro adalah kesan daripada kecederaan tikaman di bahagian perut yang dialaminya semasa berkempen untuk jawatan presiden pada 2018.
Walaupun berada di sebalik jeriji besi, beliau telah menamakan anak sulungnya, Senator Flavio Bolsonaro, sebagai calon pilihannya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden Oktober ini.
Dengan baki kurang tujuh bulan lagi, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan persaingan sengit antara Flavio dan Presiden berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva, yang sedang bertanding untuk penggal keempat. – AFP











