TEL AVIV: Bedilan peluru berpandu terbaharu dari Iran mencetuskan beberapa letupan di sekitar Tel Aviv pada Jumaat, ketika anggota bomba berusaha mengawal kebakaran di sebuah bangunan kediaman berhampiran pusat komersial Israel.
Letupan itu berlaku selepas Israel memperluaskan kempen ketenteraannya terhadap Hezbollah, sambil berikrar akan bertindak balas terhadap kumpulan bersenjata disokong Teheran itu kerana menyertai konflik tersebut.
Penyiar negara Iran melaporkan Teheran telah melancarkan peluru berpandu ke arah sasaran di tengah Tel Aviv, selepas tentera Israel berkata, mereka sedang berusaha memintas peluru berpandu yang dilancarkan Iran lewat Khamis.
Wartawan AFP di Tel Aviv melaporkan dua gelombang letupan hampir serentak bergema di seluruh bandar itu.
Jejak roket turut menerangi langit di Netanya, sebuah bandar di utara Tel Aviv di pesisir Laut Mediterranean.
Selepas serangan itu, perkhidmatan kecemasan Israel Magen David Adom (MDA) memaklumkan pasukannya telah memeriksa beberapa lokasi yang dilaporkan terkena impak, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Polis Israel pula berkata, pihaknya sedang mengendalikan beberapa lokasi di tengah Israel melibatkan peluru berpandu yang jatuh, mendakwa terdapat kerosakan tetapi tiada kecederaan.
Sebuah projektil dilaporkan mengenai sebuah bangunan di pinggir Tel Aviv, memaksa penduduk berpindah keluar dari kediaman mereka.
Di sebuah lagi kawasan kediaman berhampiran pusat ekonomi Israel itu, anggota bomba berusaha memadam kebakaran yang tercetus akibat serpihan roket Iran yang dipintas di udara.
Sementara itu, Home Front Command Israel mengeluarkan beberapa amaran serangan roket awal pagi Jumaat kepada komuniti berhampiran sempadan Lubnan.-AFP










