Bangunan tertinggi dunia Burj Khalifa disambar petir

Bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa disambar petir

BANGUNAN Burj Khalifa disambar kilat di Dubai. - X/Pejabat Media Dubai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Kilat dan guruh dilaporkan menyambar bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa ketika Dubai berdepan ancaman banjir susulan ribut kencang yang melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat.

Pihak berkuasa UAE sebelum ini telah mengeluarkan amaran awal kepada penduduk pada petang Khamis mengenai keadaan cuaca tidak menentu sehingga waktu pagi yang membawa hujan lebat, guruh, petir, dan tiupan angin kencang.

Beberapa keping gambar dramatik yang tular di media sosial memaparkan Burj Khalifa, yang setinggi 829 meter, disambar petir di tengah-tengah kepekatan ribut pada waktu malam.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan oleh Polis Dubai, hujan lebat tersebut turut menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air. 

Pengarah Jabatan Besar Operasi Polis Dubai, Brigedier Turki Abdulrahman bin Fares berkata, pihaknya telah mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan bagi menangani sebarang gangguan yang mungkin berlaku.

“Di tengah-tengah hujan lebat yang melanda pelbagai bahagian di Dubai, Polis Dubai telah mempertingkatkan usaha di lapangan melalui pasukan khusus bagi memastikan keselamatan jalan raya dan kelancaran aliran trafik.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada sistem operasi bersepadu berdasarkan tindak balas pantas dan penyelarasan bersama rakan strategik demi meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta kesedaran pengguna jalan raya,” menurut kenyataan Polis Dubai di media sosial.

Mmetik laporan Gulf News, Turki memaklumkan bahawa pusat kawalan kini berada pada tahap kapasiti operasi maksimum. Polis Dubai turut memperkenalkan platform digital untuk memantau keadaan cuaca di seluruh kementerian.

Ini termasuk platform khas bagi menjejaki jalan dan persimpangan yang dilanda banjir, di mana data tersebut disepadukan ke dalam aplikasi navigasi satelit (SatNav) bagi membantu orang awam mengenal pasti laluan yang selamat.

Selain itu, sebuah platform bantuan kecemasan secara langsung turut dilancarkan bagi membolehkan tempoh tindak balas yang lebih pantas. 

Hujan dilaporkan terus membasahi beberapa bahagian di UAE pada petang Jumaat memandangkan sistem tekanan rendah membawa cuaca lembap ke Dubai, Abu Dhabi, Ajman, dan Sharjah. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN