Asia Barat makin 'kacau-bilau', warga AS bergelut cari tiket pulang ke tanah air

Asia Barat makin ‘kacau-bilau’, warga AS bergelut cari tiket pulang ke tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Warga Amerika Syarikat (AS) yang berada di Asia Barat mengakui berdepan kesukaran ketika cuba pulang ke tanah air berikutan perang AS-Israel dengan Iran yang menjejaskan seluruh rantau itu.

Jabatan Negara AS mengeluarkan amaran agar rakyatnya segera meninggalkan negara seperti Bahrain, Mesir, Iran, Iraq, Israel, Tebing Barat dan Gaza, Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, Arab Saudi, Syria, UAE, dan Yaman atas faktor risiko keselamatan yang serius.

Kanada juga telah menggesa rakyatnya meninggalkan rantau itu.

Namun, sesetengah pelancong berkata, tiada penerbangan dan tiada arahan jelas untuk keluar dari rantau itu.

Buat masa ini, ramai pelancong mengadu mereka terpaksa menunggu atau mencari cara sendiri untuk keluar.

Namun, meninggalkan rantau itu menggunakan penerbangan komersial terbukti sukar bagi ramai pelancong terutamanya warga AS.

Seorang penduduk Florida, Krista Jucknath Hickman berkata, percutian beliau dan suaminya, Mike, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka terperangkap di lapangan terbang Dubai.

“Nombor yang diberikan oleh kementerian luar untuk mendapatkan bantuan tidak dapat membantu.

“Saya telah menghubungi dua kali. Satu-satunya yang boleh dilakukan hanyalah menempah penerbangan yang tidak berlepas,” katanya.

Kerajaan AS mengumumkan mula menghantar penerbangan sewa khas bagi membawa keluar warganegaranya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Arab Saudi susulan perang antara AS-Israel menentang Iran yang semakin memuncak.

Langkah ini diambil selepas banyak penerbangan komersial di rantau tersebut dibatalkan atau digantung sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu lalu.

Sebagai tindak balas, Iran telah melepaskan peluru berpandu dan dron ke arah negara-negara Asia Barat yang bersekutu dengan AS.

Jabatan Negara memaklumkan mereka sedang giat berusaha untuk menyediakan pesawat tentera dan penerbangan sewa khas bagi membantu rakyat AS yang ingin meninggalkan wilayah tersebut.

“Kami telah berhubung terus dengan hampir 3,000 rakyat AS di luar negara,” kata Dylan Johnson dari Jabatan Negara menerusi platform X, sambil menggesa warganegara mereka untuk menghubungi talian bantuan jabatan tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, pihak berkuasa mendedahkan seramai 9,000 warganegara AS berjaya pulang ke tanah air setakat ini.

Pihak jabatan memaklumkan sedang membantu rakyat mereka menempah tiket dari negara-negara yang masih mempunyai pilihan penerbangan komersial.

Dianggarkan terdapat antara 500,000 hingga satu juta warganegara AS menetap di Asia Barat, namum jumlah tepat sukar diperolehi kerana rakyat AS tidak diwajibkan mendaftar dengan pihak berkuasa apabila berpindah ke luar negara.

Sementara itu, Kedutaan AS di Baitulmuqaddis pada Isnin menyatakan mereka tidak berada dalam kedudukan untuk melakukan pemindahan atau membantu secara langsung rakyat AS meninggalkan Israel buat masa ini dan mengumumkan kedutaan akan ditutup pada Selasa.

Kedutaan tersebut kemudian memaklumkan Israel telah mula mengendalikan pengangkutan ulang-alik ke Lintasan Sempadan Taba dengan Mesir, namun memberi amaran pihak kedutaan tidak boleh memberi sebarang cadangan sama ada menyokong atau membantah penggunaan laluan tersebut atas faktor keselamatan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN