AS ugut Iran terima kekalahan - Utusan Malaysia

AS ugut Iran terima kekalahan

KEMUSNAHAN akibat projektil Iran di Kfar Qassem, Israel semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bersedia meningkatkan tindakan ketenteraan terhadap Iran sekiranya Teheran enggan menerima kekalahan di medan perang ketika rundingan menamatkan konflik masih berlangsung.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, Presiden Donald Trump tidak menggertak dan bersedia bertindak lebih agresif jika Iran terus berdegil.

“Iran tidak sepatutnya tersilap percaturan lagi. Jika mereka gagal menerima realiti bahawa mereka telah tewas dari segi ketenteraan, AS akan memastikan tekanan yang lebih hebat dikenakan,” katanya dalam taklimat media kelmarin.

Kenyataan itu dibuat ketika konflik melibatkan AS dan Israel terhadap Iran memasuki minggu keempat, dengan beberapa negara termasuk Pakistan, Turkiye dan Mesir berusaha menjadi pengantara.

Dalam perang itu, lebih 1,400 orang maut termasuk askar AS dan penduduk Iran di rantau Asia Barat.

CADANGAN

Dalam perkembangan sama, seorang pegawai kanan Iran memaklumkan Teheran masih meneliti cadangan AS untuk menamatkan perang walaupun reaksi awal adalah negatif, menunjukkan ia belum ditolak sepenuhnya.

Leavitt turut mengesahkan rundingan masih diteruskan dan disifatkan sebagai produktif.

Sementara itu, laporan media menyebut Washington mengemukakan pelan 15 perkara kepada Iran, namun Rumah Putih menegaskan maklumat tersebut tidak sepenuhnya tepat.

Pasaran global pula menunjukkan reaksi bercampur apabila harga minyak menurun dan pasaran saham pulih sedikit susulan harapan konflik dapat ditamatkan, selepas gangguan bekalan tenaga global mencetuskan kebimbangan inflasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump dilaporkan mengelak menggunakan istilah ‘perang’ bagi merujuk konflik ketenteraan dengan Iran kerana kebimbangan berkaitan keperluan kelulusan Kongres AS.

“Saya tidak akan gunakan perkataan perang, saya akan gunakan istilah operasi ketenteraan,” katanya dalam satu acara kutipan dana Parti Republikan di Washington DC kelmarin.

Awal bulan ini, beliau menggambarkan konflik tersebut sebagai ‘operasi kecil’ yang bertujuan mengelakkan tercetusnya perang lebih besar, selain berpendapat krisis itu bersifat jangka pendek dan akan berakhir tidak lama lagi.

Perlembagaan AS memberikan kuasa kepada Kongres AS untuk mengisytiharkan perang, manakala presiden bertindak sebagai ketua angkatan tentera. Akta Kuasa Perang mengehadkan operasi ketenteraan kepada 60 hari tanpa kelulusan Kongres, walaupun sering diperdebatkan.

Ahli-ahli parti Demokrat mempersoalkan tindakan Trump melancarkan serangan tanpa kebenaran Kongres serta mempertikaikan sama ada Iran benar-benar memberi ancaman segera kepada AS.

TIADA NIAT BERUNDING

Sementara itu, dua individu maut manakala tiga lagi cedera akibat serpihan runtuhan selepas sistem pertahanan udara memintas peluru berpandu balistik di pinggir bandar Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut pejabat media kerajaan pada Khamis.

“Insiden itu mengakibatkan dua kematian, tiga kecederaan serta kerosakan beberapa kenderaan,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X.

Israel turut melancarkan serangan ke seluruh Iran pada hari sama, hanya beberapa jam selepas Trump mendakwa Teheran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan perang, walaupun diplomat tertinggi Iran menolak sebarang rundingan dengan Washington.

Konflik itu semakin meluas melibatkan beberapa negara di Asia Barat, sehingga menggoncang pasaran tenaga dan mengancam ekonomi global.

Iran, yang dibedil hampir setiap hari sejak serangan bersama AS-Israel bermula pada 28 Februari, diserang awal pagi Khamis dalam apa yang disifatkan tentera Israel sebagai ‘gelombang serangan besar-besaran’, menyasarkan infrastruktur, termasuk di bandar Isfahan.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu yang mencetuskan siren amaran di tengah Israel termasuk Tel Aviv dan beberapa bahagian Baitulmuqaddis, menurut tentera Israel dalam pelancaran pertama dikesan selepas lebih 14 jam.

Menurut dua pegawai di Islamabad, Pakistan menyerahkan pelan 15 perkara daripada AS kepada Teheran untuk menghentikan pertikaian itu. 

LIMA SYARAT IRAN

Seorang pegawai Iran yang dipetik oleh Press TV berkata, Teheran mengemukakan lima syaratnya sendiri untuk menghentikan permusuhan, termasuk jaminan AS dan Israel tidak akan menyambung semula perang serta pampasan bagi kerosakan akibat serangan ke atas negara itu.

Rakyat Iran berkumpul di ibu negara Teheran pada Rabu untuk menunjukkan sokongan terhadap tentera negara itu, sambil mengibarkan bendera dan memegang gambar pemimpin tertinggi baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei.

SERANGAN

Iran masih meneruskan serangan balas terhadap Israel dan negara-negara Teluk yang dituduhnya menjadi pangkalan pelancaran serangan AS.

Arab Saudi berkata, mereka memintas sekurang-kurangnya 18 dron, manakala UAE memberi tindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron baharu, sementara Bahrain melaporkan kebakaran di sebuah fasiliti akibat serangan Iran, tanpa memberi butiran lanjut.

Kuwait juga melaporkan serangan peluru berpandu dan dron baharu pada Khamis, sehari selepas sebuah dron mengenai tangki bahan api dan mencetuskan kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.

Perang Luar Kawalan

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  Antonio Guterres pada Rabu memberi amaran bahawa perang di Asia Barat berada di luar kawalan.

Beliau  menyeru supaya pertikaian dihentikan serta-merta, menuntut Iran menghentikan serangan ke atas jiran-jirannya, menyeru AS dan Israel menamatkan perang serta menekankan bahawa diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan keluar daripada krisis ini.

Berucap di ibu pejabat PBB di New York, beliau berkata, konflik itu telah melebihi jangkaan terburuk sekalipun dan berisiko mencetuskan bencana global.

“Konflik ini telah melepasi batas. Dunia kini menghadapi risiko perang lebih luas, peningkatan penderitaan manusia,dan kejutan ekonomi global yang lebih mendalam,” katanya. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN