AS secara rasmi iktiraf kerajaan Venezuela - Utusan Malaysia

AS secara rasmi iktiraf kerajaan Venezuela

GAMBAR fail Caracas pada Februari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara rasmi mengiktiraf kerajaan sementara Venezuela, malah turut mempromosikan satu perjanjian baharu dengan Caracas mengenai emas negara itu.

Trump menukar retorik secara drastik terhadap negara Amerika Latin itu selepas penahanan Presidennya, Nicolas Maduro pada awal Januari lalu. Maduro kini berdepan tuduhan penyeludupan kokain dan kesalahan senjata api di mahkamah AS yang dinafikannya.

Presiden AS itu sendiri secara terbuka menyatakan Washington juga berhasrat mengawal kekayaan minyak Venezuela yang merupakan rizab minyak terbesar di dunia, kira-kira satu perlima daripada jumlah global.

“Dengan sukacitanya saya mengumumkan minggu ini (minggu lalu), kami telah secara rasmi mengiktiraf kerajaan Venezuela. Kami telah mengiktiraf mereka secara sah,” kata Trump pada Sidang Kemuncak Shield of the Americas di Florida. 

Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodríguez, yang dipilih untuk mengambil alih jawatan selepas penahanan Maduro, pada mulanya menekankan tiada ejen asing akan mengawal Venezuela. 

Namun, beliau kini menyesuaikan diri dengan tuntutan Washington, termasuk membuka sektor minyak Venezuela kepada syarikat AS dan bekerjasama dalam isu keselamatan.

Pada Khamis, Jabatan Negara AS menyatakan Washington dan Caracas bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik dan konsular. Kata jabatan itu, tindakan AS masih tertumpu kepada apa yang digelar sebagai ‘peralihan aman’ kepada kerajaan baharu yang dipilih secara demokratik.

Rodríguez sebelum ini menegaskan Maduro masih merupakan Presiden Venezuela. Pada pertengahan bulan lalu, beliau menyifatkan Maduro sebagai ‘pemimpin sah’ dan menyatakan beliau serta isterinya, Cilia Flores yang turut ditahan di AS sebenarnya tidak bersalah. 

Rodriguez turut memberitahu laman berita NBC, beliau dijemput ke ibu negara AS dan mempertimbangkan untuk hadir apabila kerjasama ini diperkukuh.

Sebelum ini, Trump mengancam Rodríguez akan menanggung kesan yang sangat buruk mungkin lebih besar daripada Maduro jika beliau tidak melakukan perkara yang betul.

Presiden AS itu kemudian menukar retoriknya dan menyifatkan hubungannya dengan Rodríguez kini sangat baik dan mengumumkan akan membuat lawatan ke Venezuela.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN