KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan Amerika Syarikat (AS) meminta bantuan Kyiv untuk membantu mempertahankan sekutu di rantau Teluk daripada serangan dron Iran.
Menurut Zelensky, rakan sekutu Ukraine telah menghubungi Kyiv dan terdapat permintaan dari pihak AS.
Beliau memberitahu sudah mengarahkan penyediaan keupayaan yang diperlukan dan memastikan kehadiran pakar Ukraine yang mampu menjamin keselamatan yang diperlukan.
Apabila ditanya mengenai tawaran bantuan Ukraine itu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau akan menerima apa sahaja bantuan daripada mana-mana negara.
Zelensky sebelum itu menegaskan Ukraine bersedia membantu dengan syarat pertahanan negaranya sendiri tidak terjejas serta terdapat manfaat diplomatik kepada Kyiv.
Beliau mencadangkan kemungkinan pertukaran dron pemintas Ukraine dengan lebih banyak sistem pertahanan udara sistem pertahanan udara Patriot dari AS bagi melindungi negara itu daripada peluru berpandu balistik Russia.
Perang yang semakin memuncak di Asia Barat menimbulkan kebimbangan Ukraine mungkin terjejas sekiranya perhatian sekutu beralih kepada konflik tersebut.
Terdapat juga kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan peluru berpandu pemintas serta Russia mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, yang menjadi sumber utama pembiayaan usaha perangnya.
Zelensky bagaimanapun mengakui risiko itu tetapi dilihat mahu memanfaatkan krisis tersebut untuk kepentingan strategik Ukraine.
Beliau memaklumkan sudah berhubung dengan beberapa pemimpin di rantau Teluk termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Jordan dan Kuwait, sambil menjanjikan langkah konkrit bagi membantu mempertahankan pangkalan tentera serta infrastruktur awam daripada serangan Iran.
Beliau menjelaskan, negara yang pernah berdepan serangan dron buatan Iran seperti dron Shahed memerlukan kepakaran khusus serta sistem senjata yang mencukupi untuk memintasnya.
“Apa yang menjadi permintaan utama mereka kepada Ukraine adalah jelas.
“Sesiapa yang pernah berdepan serangan Iran akan menghadapi cabaran serius, dron Shahed yang sukar dipintas tanpa kepakaran yang sesuai serta senjata yang mencukupi,” kata Volodymyr Zelensky di media sosial.
Ukraine sendiri telah lama menjadi sasaran serangan dron jenis itu dalam perang dengan Russia. Ironinya, selepas bertahun-tahun meminta bantuan pertahanan daripada AS, kini Washington pula meminta sokongan daripada Kyiv.
Walaupun pentadbiran Trump menghentikan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Ukraine, AS masih membekalkan maklumat risikan penting yang membantu Kyiv mempertahankan diri daripada serangan dron dan peluru berpandu serta melancarkan serangan ke sasaran jauh di dalam wilayah Russia.
Zelensky turut mencadangkan supaya negara Teluk tidak terlalu bergantung kepada peluru berpandu Patriot yang mahal untuk menembak jatuh dron murah, memandangkan Ukraine sendiri menghadapi kekurangan sistem tersebut.
Beliau memberitahu wartawan, kira-kira 800 peluru berpandu Patriot PAC-3 telah digunakan dalam beberapa hari kebelakangan ini, jumlah yang melebihi keseluruhan bekalan yang diterima Ukraine sepanjang perang.
Ukraine berdepan kekurangan sistem pertahanan udara Patriot dan Kyiv tidak mahu terlalu banyak sistem itu dialihkan serta digunakan di Asia Barat.
Ketua Majlis Industri Pertahanan Ukraine, Ihor Fedirko berkata, negara itu mampu meningkatkan pengeluaran dron pemintas sehingga 10,000 unit sebulan. Namun sebarang penghantaran kepada negara lain memerlukan kelulusan politik peringkat tertinggi di Ukraine.
Beliau menegaskan, selain senjata, latihan dan kepakaran juga amat penting.
“Senjata hanyalah plastik dan logam tanpa pengajaran dan latihan,” katanya.-AGENSI










