WASHINGTON/TEHERAN: Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah menyerang lebih 2,000 sasaran di Iran sejak serangan pertama pada Sabtu lalu dalam perang yang menyebabkan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei maut di kediamannya.
Amerika telah menenggelamkan sembilan kapal tentera laut Iran dan bersama Israel telah membunuh 48 komander negara itu dalam perang yang turut melibatkan cita-cita untuk menamatkan rejim pemerintahan di negara berkenaan.
Sebagai balasan, Iran menyerang puluhan sasaran di sekurang-kurangnya lapan negara yang menempatkan aset AS atau Israel.
Iran menegaskan bahawa mereka tidak akan berunding dengan AS, kata ketua keselamatan Republik Islam itu.
Israel membuka serangan baru dengan menyasarkan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan, yang didakwa menembak roket ke Israel.
Ratusan orang awam terbunuh di Iran, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.
Jumlah kematian di Iran akibat serangan bersama Amerika dan Israel telah mencapai sekitar 555 orang, menurut persatuan itu dalam kenyataan yang di aplikasi Telegram pada Isnin.
Organisasi itu berkata, serangan teroris Zionis-Amerika telah menjejaskan 131 bandar di seluruh negara, menyebabkan kematian ramai penduduk dan korban di pelbagai wilayah.
Angka itu merangkumi kematian keseluruhan sejak serangan bermula Sabtu lalu, tetapi laporan rasmi tidak membezakan antara kematian orang awam atau tentera setakat ini
Sekurang-kurangnya sembilan orang mati di Israel, manakala Presiden AS, Donald Trump melaporkan tiga anggota tentera Amerika telah terbunuh.
Beliau berjanji untuk membalas kematian mereka dan menggesa pemimpin Iran untuk menyerah atau menghadapi kematian.
Pemimpin Britain, Perancis dan Jerman menyatakan mereka akan mempertahankan kepentingan masing-masing di rantau itu.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer bersetuju membenarkan AS menggunakan pangkalan Britain untuk operasi pertahanan. Iran kemudian menyerang salah satu pangkalan tersebut di Cyprus.
Serangan AS dan Israel ke atas Iran juga telah membunuh tiga anggota Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam (IRGC) dan lima anggota tentera, menurut kenyataan rasmi berasingan pada Isnin.
“Tiga anggota Pasukan Pengawal Revolusi terbunuh dalam serangan ke atas satu unit di wilayah barat Lorestan, menurut kenyataan rasmi IRGC yang dipetik oleh agensi berita ISNA.
Dalam serangan berasingan ke atas bandar barat Khorramabad, lima anggota tentera Iran terbunuh, kata agensi berita Tasnim, memetik kenyataan tentera.
Peluru berpandu Iran yang mensasarkan pangkalan udara berhampiran ibu negara Arab Saudi, Riyadh tetapi telah dipintas pada Isnin, menurut seorang sumber Teluk yang dimaklumkan kepada AFP, ketika Iran melancarkan serangan pelbagai arah di seluruh rantau.
“Peluru berpandu Iran yang menyasarkan Pangkalan Udara Prince Sultan dipintas sekali lagi pada pagi Isnin,” kata sumber itu.
Dua saksi turut memberitahu AFP bahawa mereka mendengar letupan di bandar Kharj, tenggara Riyadh, pada Isnin.
Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata, beberapa operasi di loji penapisan Ras Tanura yang besar di pesisir Teluk telah dihentikan pada Isnin, susulan serangan yang mengakibatkan kebakaran di kompleks tersebut.
Fasiliti Ras Tanura, terletak di sepanjang pesisir timur Arab Saudi di Teluk, merupakan salah satu loji penapisan terbesar di seluruh Asia Barat dan menjadi tonggak utama sektor tenaga negara itu.
Kompleks tersebut mempunyai kapasiti 550,000 tong sehari. – AFP/AGENSI










