TEHERAN: Iran memberi amaran Amerika Syarikat (AS) berisiko ‘terperangkap’ dalam konflik seperti Perang Vietnam jika Washington mengerahkan tentera darat dalam perang yang kini memasuki minggu ketiga.
Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, menyatakan tentera AS boleh menghadapi nasib yang sama di Iran.
“Lihat sahaja apa yang berlaku di Vietnam. Mereka yang mengheret AS ke dalam perang ini juga boleh menjerumuskan mereka dalam kancah politik yang berpanjangan,” katanya menerusi temu bual dengan Sky News kelmarin.
Saeed berkata, Iran bersedia untuk berperang selama mana diperlukan dan tidak memberi tumpuan kepada penyelesaian diplomatik buat masa ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan rundingan, namun menegaskan terpulang kepada AS dan sekutunya untuk mengemukakan cadangan yang mampu menamatkan konflik secara muktamad.
Beliau turut menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai pihak yang mengheret AS ke dalam perang tersebut.
Perang Vietnam berlaku pada 1 November 1955 sebelum berakhir pada 30 April 1975 yang menyebabkan 58,220 anggota tentera AS terkorban di mana Washington campur tangan untuk menghalang penyebaran fahaman komunis.
Bagaimanapun, AS kalah dalam perang tersebut dengan anggaran kematian askar dan orang awam Vietnam yang terbunuh adalah antara 970,000 hingga 3 juta orang.
Sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu, kira-kira lebih 1,300 orang terbunuh setakat ini, termasuk bekas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
TINDAK BALAS
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Letupan kuat menggegarkan Teheran pada Selasa selepas pengeboman, ketika Presiden AS, Donald Trump menekan sekutu-sekutunya untuk membantu dalam perang yang telah melanda Asia Barat dan mencetuskan kekacauan ekonomi global.
Harga minyak meningkat lebih daripada lima peratus pada Selasa selepas beberapa negara menolak tuntutan Trump agar mereka membantu melindungi kapal-kapal di Selat Hormuz, iaitu laluan penting bagi penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair.
Perang yang kini memasuki minggu ketiga itu telah mengorbankan ratusan nyawa dan menyaksikan Iran melancarkan serangan balas terhadap Israel dan negara-negara Teluk, selain pembukaan satu lagi medan peperangan di Lubnan dengan Israel bertempur menentang Hizbollah.
Iraq, yang sekian lama menjadi medan pertempuran proksi antara Amerika dan Iran, turut terheret ke dalam konflik ini, apabila serangan dron dan roket menyasarkan kedutaan AS di Baghdad pada Selasa.
LETUPAN
Letupan kedengaran di ibu negara Iran, Teheran, kata seorang wartawan AFP, selepas satu malam pengeboman hebat yang disertai guruh dan hujan.
Masih belum jelas sasaran serangan tersebut, namun tentera Israel sebelum ini menyatakan bahawa mereka telah melancarkan gelombang serangan terhadap infrastruktur rejim Iran di seluruh Teheran selain serangan di Lubnan
Media rasmi Lubnan melaporkan pada Selasa bahawa serangan Israel pada waktu subuh telah mengenai sebuah bangunan kediaman di pinggir selatan Beirut, kubu kuat kumpulan bersenjata yang disokong Iran, Hizbollah.
Seorang jurugambar AFP melihat anggota bomba memadamkan kebakaran di lokasi serangan, manakala runtuhan dan serpihan bertaburan di jalan raya.
Berjuta-juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat perang ini, terutamanya di Lubnan dan Iran. Konflik tersebut turut memberi kesan kepada ekonomi dunia apabila harga minyak melonjak.
Iran juga telah menyasarkan kemudahan tenaga negara jiran pengeluar minyak mentah, selain mengancam kapal tangki yang melalui Selat Hormuz, sehingga hampir menutup laluan penting itu.
Tentera Israel pada Selasa berkata bahawa mereka telah membunuh ketua pasukan separa tentera Basij dalam satu serangan, manakala media Israel melaporkan ketua keselamatan negara Iran turut menjadi sasaran cubaan pembunuhan.
NEGARA TELUK
Dua anggota kakitangan perubatan cedera apabila serpihan jatuh ke atas sebuah pusat ambulans di Kuwait, menurut Kementerian Kesihatan negara itu, ketika Iran meneruskan kempen serangan di seluruh Teluk.
Serpihan yang jatuh daripada peluru berpandu yang dipintas telah meragut nyawa seorang individu pada Selasa di ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi, menurut pihak berkuasa.
Kejadian itu berlaku di kawasan Bani Yas selepas peluru berpandu balistik dipintas oleh sistem pertahanan udara, kata Pejabat Media Abu Dhabi di X.
Pada hari sebelumnya, seorang rakyat Palestin maut di pinggir bandar apabila peluru berpandu mengenai keretanya.
Dengan kejadian ini, jumlah korban di UAE sejak permulaan perang Iran meningkat kepada lapan orang, termasuk enam orang awam serta dua anggota tentera yang terbunuh dalam kemalangan helikopter. – AFP/AGENSI










