AS beri bayangan negara Arab mungkin bayar kos perang Iran - Utusan Malaysia

AS beri bayangan negara Arab mungkin bayar kos perang Iran

NEGARA Arab mungkin diminta membiayai kos perang Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rumah Putih memberi bayangan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan meminta negara-negara Arab menanggung kos perang Amerika terhadap Iran yang dianggarkan mencecah puluhan bilion dolar.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt ditanya pada Isnin sama ada negara-negara Arab patut membayar kos perang itu, sebagaimana sekutu-sekutu AS pernah membantu membiayai campur tangan Washington semasa Perang Teluk pada tahun 1990.

“Saya fikir itu adalah sesuatu yang presiden akan sangat berminat untuk meminta mereka lakukan,” kata Leavitt kepada wartawan seperti laporan Al Jazeera.

“Saya tidak mahu mendahului beliau dalam perkara itu, tetapi sudah tentu ia adalah satu idea yang saya tahu beliau ada dan saya rasa anda akan mendengar lebih lanjut daripadanya mengenai perkara ini,” tambahnya.

Semasa Perang Teluk, AS mengetuai satu gabungan global yang melibatkan puluhan negara untuk menangkis pencerobohan Iraq ke atas Kuwait atas permintaan negara itu dan beberapa negara jirannya di dunia Arab.

Sebagai balasan, negara-negara di rantau tersebut dan anggota gabungan, termasuk Jerman serta Jepun telah mengumpulkan AS$54 bilion (RM217 bilion) untuk membantu membiayai penglibatan AS.

Namun kali ini, AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran tanpa melibatkan sekutu mereka dan negara-negara serantau.

Awal bulan ini, seorang pengulas berhaluan kanan yang rapat dengan Trump, Sean Hannity berkata bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata perlu merangkumi syarat supaya Iran membayar kos perang tersebut yang telah mengorbankan hampir 2,000 rakyat Iran.

“Mereka mesti bersetuju untuk membayar balik kepada Amerika dalam bentuk minyak bagi keseluruhan kos operasi ketenteraan ini,” kata Hannity.

Bagaimanapun, Iran pula telah menetapkan pampasan daripada AS bagi kerosakan perang sebagai salah satu syaratnya.

Iran telah membalas serangan AS dan Israel dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh Asia Barat.

Pegawai Iran berkata, mereka menyasarkan aset AS di rantau itu. Namun, Teheran juga telah melancarkan serangan ke atas tapak awam, termasuk hotel, lapangan terbang dan infrastruktur tenaga di beberapa negara Teluk. 

Minggu pertama perang terhadap Iran telah menyebabkan AS membelanjkan lebih AS$11.3 bilion (RM45 bilion)  menurut taklimat Jabatan Pertahanan atau Pentagon kepada wakil-wakil rakyat AS, berdasarkan laporan The New York Times yang menonjolkan betapa pantas konflik itu menggunakan senjata dan sumber ketenteraan. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN