TEHERAN – Mojtaba Khamenei, anak kepada bekas pemimpin tertinggi Iran yang telah meninggal dunia, Ayatollah Ali Khamenei telah dilantik untuk menggantikan bapanya sebagai ketua baharu republik Islam itu.
Mojtaba dinamakan sebagai pemimpin tertinggi oleh badan ulama tertinggi, Majlis Pakar dalam satu kenyataan yang diterbitkan sejurus selepas tengah malam Isnin di Iran.
Calon lain bagi jawatan tertinggi itu termasuk Alireza Arafi, salah seorang daripada tiga anggota majlis sementara yang mentadbir negara, tokoh berhaluan keras Mohsen Araki dan juga Hassan Khomeini, cucu kepada pengasas republik Islam pada tahun 1979.
Namun, akhirnya majlis tersebut memilih Mojtaba Khamenei, 56, sekali gus memilih peralihan kuasa secara keturunan, sesuatu yang ditolak bapanya atas prinsip pada tahun 2024.
Revolusi Islam sebelum ini telah menamatkan pemerintahan dinasti diraja berabad-abad lamanya yang diketuai oleh shah.
Dilahirkan pada 8 September 1969 di bandar Mashhad, timur Iran, Mojtaba merupakan salah seorang daripada enam anak kepada bekas pemimpin tertinggi itu.
Ali Khamenei terbunuh pada usia 86 tahun lebih seminggu lalu di Teheran semasa gelombang pertama serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel yang mencetuskan perang di Asia Barat.
Disebabkan sikapnya yang jarang tampil dalam upacara rasmi dan media, pengaruh sebenar Mojtaba selama bertahun-tahun menjadi bahan spekulasi hangat dalam kalangan rakyat Iran.
Beliau merupakan satu-satunya anak kepada bekas pemimpin tertinggi itu yang memegang peranan awam, walaupun tidak mempunyai jawatan rasmi.
Ulama yang berjanggut putih hitam dan memakai serban hitam yang menandakan keturunan seyyed.
Seyyed itu ialah keturunan Nabi Muhammad SAW dan digambarkan oleh sesetengah pihak berperanan di belakang tabir dalam menggerakkan kuasa di pusat pemerintahan Iran.
Beliau dianggap rapat dengan golongan konservatif, khususnya kerana hubungannya dengan Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam..
Hubungan tersebut bermula sejak beliau berkhidmat dalam unit tempur pada penghujung perang Iran–Iraq yang berlangsung dari 1980 hingga 1988. – AFP










