Air China sambung semula penerbangan ke Korea Utara selepas enam tahun

Air China sambung semula penerbangan ke Korea Utara selepas enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Air China menyambung semula penerbangan terus antara Beijing dan Pyongyang pada Isnin selepas terhenti selama enam tahun.

Ia satu lagi petanda bahawa Korea Utara yang terasing semakin terbuka susulan pemulihan semula perkhidmatan kereta api antara kedua-dua ibu kota itu.

China menjadi talian hayat kepada ekonomi Korea Utara yang lembap sebagai rakan dagang terbesar serta sumber penting sokongan diplomatik dan politik.

Namun, perjalanan antara dua negara Asia Timur itu sangat terhad sejak 2020, apabila penutupan sempadan ketat dilaksanakan semasa pandemik Covid-19.

Penerbangan CA121 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada 7.58 pagi (waktu tempatan), menurut data FlightStats, dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sunan di Pyongyang pada 11.00 pagi (waktu tempatan), menurut laman web Air China.

Para penumpang di lapangan terbang Beijing yang sibuk dilihat beratur panjang untuk mendaftar masuk bagasi mereka bersama syarikat penerbangan itu, menurut wartawan AFP.

Keengganan berterusan Pyongyang untuk mengeluarkan visa pelancong bermakna hanya pengembara dengan urusan rasmi atau tujuan khas lain dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan tersebut.

Seorang pengembara perniagaan ke Pyongyang, Zhao Bin menunjukkan tiket penerbangannya kepada wartawan dan menyatakan keyakinan sektor pelancongan akan kembali dibuka kepada pelawat China.

“Saya menjangkakan kedua-dua laluan kereta api dan penerbangan Air China akan meningkat dan akan ada lebih banyak pertukaran serta perjalanan antara rakyat,” katanya.

Tiket kelas ekonomi ditawarkan sekitar AS$200 (RM804), menurut pemerhatian AFP, manakala penerbangan pulang dari Pyongyang dijadualkan berlepas pada tengah hari.

Perkhidmatan kereta api penumpang harian turut disambung semula bulan ini dengan China, yang merupakan sumber utama kebanyakan pelawat asing ke Korea Utara.

Namun, wartawan AFP di bandar timur laut China, Dandong yang sekian lama menjadi pintu masuk utama untuk hubungan dengan Korea Utara melihat kereta api penumpang harian menuju ke negara terpencil itu hampir kosong minggu lalu.

China membuka semula sepenuhnya sempadannya sejak pandemik, tetapi Korea Utara bergerak lebih perlahan.

Korea Utara menyambung semula penerbangan terus dan perkhidmatan kereta api dengan Russia tahun lalu, manakala syarikat penerbangan negara, Air Koryo, kembali mengendalikan penerbangan antara Beijing dan Pyongyang pada 2023.

Syarikat pelancongan Young Pioneer Tours yang pakar dalam perjalanan ke Korea Utara, memberitahu, pada Mac penyambungan semula laluan Air China ke Beijing membuka lebih banyak akses sambungan ke Pyongyang.

“Sebelum ini, Air China juga mengendalikan penerbangan pada hari Rabu dan Jumaat, jadi terdapat kemungkinan perkhidmatan tambahan akan diperkenalkan semula dalam masa terdekat.

“Walaupun pengumuman penerbangan itu dilihat memberangsangkan untuk sektor pelancongan, masih tiada pengesahan lanjut mengenai pelancong Barat,” kata Pengurus Pelancongan Young Pioneer Tours, Rowan Beard.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN