KUWAIT CITY: Kementerian Pertahanan Kuwait memaklumkan 67 anggota tenteranya cedera sejak permulaan kempen serangan balas Iran, jumlah tertinggi setakat ini bagi mana-mana tentera di negara Teluk.
“Seramai 67 anggota tentera Kuwait cedera sejak permulaan serangan ini,” menurut jurucakap kementerian pertahanan, Kolonel Saud Al-Atwan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lokasi kecederaan tentera berkenaan.
Katanya, Kuwait telah mengenal pasti dan menangani 212 peluru berpandu balistik dan 394 dron sejak Sabtu.
Kuwait juga mencatatkan kadar kematian tertinggi di rantau ini setakat ini, dengan lapan daripada 13 orang yang maut di Teluk berasal dari negara kecil itu.
Jumlah itu termasuk empat anggota perkhidmatan AS dan dua anggota tentera Kuwait serta dua orang awam.
Washington berkata, sejumlah enam anggota perkhidmatan terbunuh dalam perang tersebut.
AS menempatkan kehadiran ketenteraan yang besar di Kuwait sejak Washington membantu negara Teluk itu selepas Iraq menceroboh pada 1990.
Kuwait mempunyai beberapa pangkalan AS, termasuk Kem Arifjan yang menjadi markas hadapan bagi komponen tentera Darat AS untuk CENTCOM Asia Barat. Tentera Darat AS juga menyimpan peralatan dan bekalan di negara itu.
Pangkalan Udara Ali al-Salem menempatkan Pasukan Sayap Ekspedisi Udara Ke-386 yang digambarkan tentera sebagai hab pengangkutan udara utama dan pintu masuk untuk menghantar kuasa tempur kepada pasukan bersama dan kerjasama di rantau ini. Selain itu, AS turut menempatkan dron termasuk MQ-9 Reapers di Kuwait.-AFP










