ABU DHABI: Pihak berkuasa Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan telah menahan sehingga 100 individu selepas didapati merakam kejadian serangan dron atau peluru berpandu, ketika negara itu memperketat kawalan media sosial bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan.
Polis Abu Dhabi sahaja mengesahkan penahanan 45 individu daripada pelbagai warganegara kerana merakam pelbagai lokasi strategik di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku dan memuat naik klip tersebut ke media sosial.
Sementara itu di Dubai, sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk seorang pelancong warga Britain berusia 60 tahun telah ditahan. Sumber mendedahkan jumlah keseluruhan tangkapan kini dipercayai menghampiri 100 orang.
Kesemua tahanan dituduh berkongsi maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan. Pihak berkuasa memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh mencetuskan provokasi terhadap pendapat umum dan menyebarkan khabar angin.
Kerajaan Abu Dhabi menegaskan bahawa agensi keselamatan mereka kini sedang memantau media sosial bagi mengesan sebarang pelanggaran larangan ketat terhadap perkongsian imej konflik.
Operasi ini dilihat berkesan apabila jumlah imej serangan yang muncul dalam talian berkurangan secara drastik dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Dalam satu kenyataan, Polis Dubai mengingatkan orang ramai bahawa berkongsi khabar angin, maklumat palsu atau sebarang kandungan yang bertentangan dengan pengumuman rasmi sehingga menyebabkan panik atau mengancam keselamatan awam adalah dilarang sama sekali.
“Pelanggar undang-undang boleh berdepan hukuman jenayah, termasuk penjara dan denda tidak kurang daripada Dh200,000 (RM214,508),” tambah kenyataan itu lagi.
Pihak polis turut memberi amaran keras terhadap tindakan merakamkan foto di tapak-tapak kritikal. Mereka menjelaskan bahawa imej yang dianggap biasa oleh orang awam boleh menjadi maklumat risikan yang berharga kepada pihak lawan.
Operasi ini susulan serangan balas Iran yang semakin meluas terhadap sasaran Amerika Syarikat (AS) di wilayah Teluk sejak 28 Februari lalu.
Antara ditahan termasuk warga Britain dari London yang dilaporkan masih berada dalam tahanan di Balai Polis Bur Dubai selepas dilihat merakam aset senjata semasa serangan sedang berlangsung. -AGENSI










