143 juta orang balik kampung di Indonesia - Utusan Malaysia

143 juta orang balik kampung di Indonesia

Orang ramai menunggu kereta api ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung di Stesen Kereta Api Lempuyangan, Yogyakarta kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kira-kira 143.91 juta orang atau 50.60 peratus daripada penduduk Indonesia akan pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Perhubungan Indonesia, Dudy Purwagandhi.

Beliau memberitahu Presiden Prabowo Subianto di Istana Negara, Jakarta tentang laporannya berhubung hasil tinjauan pergerakan masyarakat sempena sambutan hari lebaran pada tahun ini.

“Angka ini memang menurun sebanyak 1.75 peratus berbanding tinjauan pada tahun 2025 iaitu sekitar 146 juta. Namun, jumlah sebenar pada tahun 2025 sebenarnya mencecah 154 juta (orang). 

“Ini bermakna mobiliti masyarakat pada musim perayaan cenderung melebihi angka tinjauan,” kata Dudy pada Jumaat..

Dari segi mod pengangkutan, beliau berkata, kereta persendirian dijangka masih menjadi pilihan utama dengan 76.24 juta orang pulang ke kampung menggunakan kenderaan tersebut, diikuti motosikal dan bas.

“Jangkaan hab pengangkutan paling sesak semasa musim perayaan 2026 ialah Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, laluan pelabuhan penyeberangan Merak-Bakauheni, Stesen Pasar Senen dan Terminal Pulogebang,” jelasnya.

Bagi menyokong kelancaran perjalanan pulang ke kampung, Menteri Perhubungan itu memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan pelbagai mod pengangkutan yang merangkumi 31,000 unit bas dan 840 buah kapal laut.

Sebanyak 254 kapal menyeberangi selat, sungai dan laut, 372 pesawat udara serta 3,687 unit perkhidmatan kereta api turut disediakan. 

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan program mudik percuma melalui pengangkutan darat, laut dan kereta api yang disasarkan memberi perkhidmatan kepada 113,262 penumpang serta 12,140 motosikal.

“Program mudik percuma juga diberikan kepada kawasan yang terjejas akibat bencana di Sumatera, meliputi Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat,” katanya.

Sementara itu, pada Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo menyatakan bahawa operasi keselamatan bagi musim balik kampung tahun ini dilaksanakan melalui Operasi Ketupat 2026 dengan tema ‘Mudik (balik kampung) Aman, Keluarga Bahagia”. 

Menurut beliau, operasi tersebut melibatkan 161,243 anggota gabungan daripada pelbagai agensi, dengan pihak polis sebagai penyelaras utama operasi. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN