ABUJA: Sebuah mahkamah di Nigeria mengarahkan kerajaan United Kingdom (UK) membayar pampasan berjumlah 420 juta pound (RM2.3 bilion) kepada keluarga 21 pelombong arang batu yang ditembak mati oleh pihak berkuasa kolonial itu hampir 80 tahun lalu.
Dalam kejadian pada 18 November 1949, polis kolonial melepaskan tembakan ke arah para pelombong yang mengadakan protes duduk beramai-ramai secara aman di lombong Iva Valley, Enugu, tenggara Nigeria bagi menuntut penambahbaikan syarat kerja dan pembayaran gaji tertunggak.
Seramai 51 pelombong lain cedera dalam insiden tersebut, yang kemudian mencetuskan gelombang kemarahan awam dan menguatkan tuntutan ke arah kemerdekaan Nigeria dan akhirnya dicapai pada 1960.
Kes bersejarah itu dibawa ke mahkamah oleh aktivis hak asasi manusia Nigeria, Mazi Greg Onoh dan diputuskan oleh Hakim Anthony Onovo dalam penghakiman yang disampaikan pada Khamis lalu.
Mahkamah memerintahkan kerajaan UK membayar 20 juta pound (RM107 juta) kepada setiap keluarga mangsa sebagai pampasan.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Yemi Akinseye-George berkata, selepas menerima salinan rasmi penghakiman, pihaknya akan meminta Peguam Negara Nigeria dan Kementerian Luar Negeri di Abuja untuk memaklumkan keputusan tersebut kepada London serta memulakan langkah diplomatik bagi memastikan pematuhannya.
“Pihak berkuasa UK, walaupun telah diserahkan notis secara sah, enggan hadir atau memberi sebarang maklum balas terhadap prosiding mahkamah,” katanya.
Siasatan rasmi yang dijalankan pada waktu kejadian mempertahankan tindakan polis dengan alasan mereka takut diserang orang ramai. Individu-individu yang terbunuh kini dikenang dan diraikan di wilayah itu sebagai wira perjuangan.
Pada 2013, kerajaan Britain sebelum ini bersetuju membayar pampasan kepada lebih 5,000 rakyat Kenya yang menjadi mangsa penyeksaan dan layanan buruk semasa pemberontakan Mau Mau pada 1950-an. Ketika itu, London menyatakan kekesalan dan membayar jumlah sama sebagai pampasan. – BBC










