LONDON: Sebuah majlis perbandaran di United Kingdom (UK) mengambil langkah luar biasa dengan menutup sebatang jalan raya selama enam minggu bagi memberi laluan kepada ribuan katak menyeberang ke kawasan pembiakan semula jadi.
Jalan raya Charlcombe Lane, berhampiran Bath di Somerset, ditutup bermula Ahad lalu sehingga 29 Mac depan bagi membolehkan sekumpulan sukarelawan melakukan rondaan bermula waktu senja untuk membantu amfibia tersebut melintas dengan selamat.
Anggota-anggota sukarelawan daripada Kumpulan Penyelamat Kodok Charlcombe menyasarkan untuk membantu lebih 3,000 ekor amfibia yang cuba sampai ke tasik pembiakan yang terletak di kawasan lembah di jalan tersebut.
Mereka dijangka menghabiskan masa keseluruhan selama 600 jam dengan memakai jaket pantulan cahaya, lengkap bersenjatakan lampu picit dan baldi untuk mencari serta memindahkan haiwan-haiwan itu.
Bagi memastikan keselamatan kulit amfibia yang sensitif, anggota-anggota sukarelawan menggunakan sarung tangan bebas serbuk dan lateks bagi mengelakkan sebarang tindak balas kimia.
Majlis Perbandaran Bath dan North East Somerset telah bersetuju untuk menutup jalan itu setiap tahun sejak tahun 2003.
Rekod menunjukkan penutupan jalan tersebut sangat berkesan.
Sebelum penutupan jalan itu dimulakan, kadar kematian amfibia mencecah 62 peratus manakala pada tahun lalu, angka tersebut menurun drastik kepada hanya tiga peratus.
Pengurus kumpulan penyelamat berkenaan, Helen Hobbs berkata, penutupan jalan selama enam minggu itu sangat penting kerana perubahan iklim menyukarkan ramalan waktu puncak penghijrahan haiwan tersebut.
“Menutup Charlcombe Lane dengan sokongan komuniti setempat adalah satu pencetus perubahan. Ia memberi peluang kepada populasi katak untuk terus berkembang biak. (Ia berlaku) di sebalik trend penurunan populasi secara nasional,” katanya.
Penutupan Charlcombe Lane merupakan salah satu daripada empat penutupan jalan seumpamanya yang dilakukan di seluruh UK untuk pemuliharaan hidupan liar. – AGENSI











