Trump akui operasi imigresen perlu berhemah - Utusan Malaysia

Trump akui operasi imigresen perlu berhemah

EJEN-ejen persekutuan menahan seorang penunjuk perasaan yang memakai baju Antifa di luar sebuah bangunan kediaman di Minneapolis, Minnesota.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku penguatkuasaan imigresen mungkin memerlukan pendekatan yang lebih lembut selepas dua rakyat negara itu ditembak mati oleh ejen-ejen persekutuan dalam operasi di bandar Minneapolis bulan lalu.

Insiden tembakan itu mencetuskan gelombang baharu bantahan terhadap tindakan keras imigresen yang sedang dilaksanakan oleh pentadbiran Trump.

Dalam temu bual bersama saluran berita, NBC News yang diterbitkan pada Khamis lalu, Trump ditanya mengenai pengajaran yang diperolehnya susulan peristiwa di Minneapolis. negeri Minnesota.

“Mungkin kita boleh gunakan sedikit pendekatan yang lebih lembut, tetapi kita masih perlu tegas,” katanya.

Trump menegaskan kempen pengusiran yang diterajui oleh agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) menyasarkan penjenayah yang benar-benar berbahaya.

Apabila ditanya sama ada pembunuhan dua warga AS, Renee Good dan Alex Pretti adalah wajar, Trump menjawab ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya tidak gembira dengan dua insiden ini. Tiada siapa boleh berasa gembira dan ICE juga tidak gembira,” katanya sambil menyatakan bahawa beliau tetap perlu menyokong penguatkuasaan undang-undang.

Susulan rusuhan yang tercetus selepas insiden tembakan tersebut, Rumah Putih menggantikan Komander Peronda Sempadan AS, Gregory Bovino dengan bekas Pemangku Ketua ICE,, Tom Homan sebagai pegawai yang menyelia penguatkuasaan imigresen di Minnesota.

Trump menyifatkan rombakan itu sebagai langkah untuk meredakan keadaan yang semakin tegang di negeri berkenaan.

Pada Rabu lalu, Homan mengumumkan pentadbiran kerajaan akan menarik balik 700 ejen persekutuan, iaitu kira-kira satu perempat daripada jumlah keseluruhan yang dikerahkan ke Minnesota. 

Katanya, pengunduran penuh hanya akan dilakukan bergantung kepada kerjasama berterusan pihak berkuasa tempatan dan penurunan tahap keganasan,  serangan terhadap ICE serta pasukan Peronda Sempadan.

Namun, beliau menyatakan pengusiran besar-besaran akan diteruskan dalam temu bual bersama saluran berita,Fox News pada Khamis lalu..

Sementara itu, ahli-ahli Parlimen Parti Demokrat menuntut pembaharuan besar terhadap ICE, termasuk penubuhan kod etika untuk ejen-ejen persekutuan dan keperluan mereka menunjukkan pengenalan diri ketika bertugas.

Tuntutan tersebut menyebabkan pakej belanjawan utama di Kongres AS tertangguh minggu lalu, sehingga memaksa sebahagian kerajaan persekutuan ditutup kira-kira hampir seminggu sebelum kembali beroperasi pada Rabu lalu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN