Starmer mohon maaf kepada mangsa Epstein - Utusan Malaysia

Starmer mohon maaf kepada mangsa Epstein

KEIR STARMER - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, memohon maaf kepada mangsa-mangsa mendiang pesalah seks, Jeffrey Epstein, selepas mengakui beliau tersilap mempercayai maklumat yang diberi oleh Lord Peter Mandelson sebelum melantiknya sebagai duta United Kingdom ke Amerika Syarikat (AS).

Starmer memulakan ucapan yang dirancang mengenai pembiayaan untuk memperbaiki komuniti tempatan namun terlebih dahulu menangani kemarahan awam yang semakin memuncak terhadap cara beliau mengendalikan isu tersebut.

Walaupun mengaku hubungan Mandelson dengan Epstein sudah diketahui umum sejak sekian lama, beliau berkata, tiada siapa antara mereka yang mengetahui sejauh mana berbahayanya hubungan itu.

Dalam usaha meredakan kontroversi, Starmer berkata, beliau amat menyesal melantik Lord Mandelson dan tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui apa yang diketahui kini.

“Saya minta maaf. Maaf atas apa yang telah dilakukan terhadap kamu. Maaf kerana begitu ramai orang berkuasa telah gagal melindungi kamu. 

“Maaf kerana mempercayai pembohongan Mandelson dan melantiknya. Maaf kerana sehingga kini kamu masih dipaksa menyaksikan kisah ini dibongkar semula di hadapan umum,” katanya dalam ucapan yang ditujukan kepada semua mangsa Epstein.

Ketua Parti Konservatif, Kemi Badenoch menyifatkan kedudukan Starmer sebagai perdana menteri tidak boleh dipertahankan, manakala Parti Liberal Demokrat pula menggesa undi tidak percaya dilakukan terhadapnnya..

Starmer berjanji akan mendedahkan fail-fail yang didakwanya membuktikan Mandelson berbohong mengenai sejauh mana hubungan persahabatannya dengan Epstein semasa proses tapisan bagi jawatan duta ke AS.

Ketika Mandelson dilantik sebagai duta ke AS pada Disember 2024, sudah diketahui umum bahawa  beliau mengekalkan persahabatan dengan Epstein. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN