CARDIFF: Sebuah pulau peribadi seluas tujuh hektar di perairan utara Wales yang pernah dimiliki oleh keluarga diraja England kini dibuka untuk jualan pada harga permulaan £350,000 (RM1.8 juta) hampir sama dengan sebuah rumah berkembar biasa.
Pulau itu pernah menjadi milik Ratu Anne, yang memerintah dari tahun 1702 hingga 1714.
Pulau Ynys Gifftan itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi apabila ia diberikan sendiri oleh Ratu Anne kepada nenek moyang bekas diplomat dan ahli politik Britain, Lord Harlech.
Pulau itu dipercayai merupakan sebahagian daripada Estet Glyn yang dimiliki oleh Baron Harlech ke-7.
Terletak di Muara Dwyryd berhampiran perkampungan Portmeirion, pulau itu turut menempatkan sebuah rumah ladang gaya Victoria yang besar di pinggir pantai timurnya.
Rumah batu tersebut pernah didiami sehingga tahun 1970-an, namun kini memerlukan proses pengubahsuaian yang menyeluruh untuk dikembalikan kegemilangannya.
Walaupun harganya kedengaran sangat mampu milik bagi sebuah hartanah peribadi, bakal pembeli harus bersedia dengan cabaran uniknya kerana pulau tersebut hanya boleh diakses melalui jalan kaki dengan meredah lumpur ketika air surut.
Seorang ejen hartanah yang menguruskan jualan itu berkata, pulau tersebut menawarkan pemandangan panoramik tanpa gangguan merentasi garis pantai dan terdapat banjaran gunung di sekitarnya.
“Menerusi gabungan warisan sejarah dan keindahan semula jadi, ia adalah tawaran menarik bagi pembeli yang mahukan sesuatu yang benar-benar istimewa di Wales,” ujar ejen berkenaan.
Selain rumah ladang utama, terdapat juga beberapa bangunan luar yang diperbuat daripada batu untuk tujuan stor penyimpanan.
Muka bumi pulau itu terdiri daripada padang rumput berbatu dan kawasan rata.
Ejen tersebut bagaimanapun memberi amaran bahawa tanah di pulau berkenaan kini ditumbuhi semak samun dan memerlukan pengurusan tanah, termasuk membaiki sempadan padang yang telah rosak jika pemilik baharu berhasrat untuk menternak haiwan.
Bagi mereka yang berminat terhadap pemuliharaan bangunan bersejarah, pulau itu bukan sekadar sekeping tanah, tetapi merupakan sebahagian daripada sejarah diraja untuk dihidupkan semula. – AGENSI










