Parti PM Thailand menang pilihan raya Thailand - Utusan Malaysia

Parti PM Thailand menang pilihan raya Thailand

ANUTIN Charnvirakul (kanan) bercakap pada sidang akhbar di Bangkok semalam. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Perdana Menteri konservatif Thailand, Anutin Charnvirakul mendakwa memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum negara itu yang diadakan semalam, selepas sebuah stesen televisyen meramalkan partinya akan memiliki kerusi terbesar di parlimen hasil gelombang nasionalisme.

“Kami berkemungkinan besar akan menduduki tempat pertama dalam pilihan raya ini,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat partinya di Bangkok.

“Kemenangan hari ini milik semua rakyat Thailand, tidak kira sama ada anda mengundi kami atau tidak,” tambahnya.

Parti Bhumjaithai pimpinan beliau diramalkan memenangi hampir 200 kerusi oleh stesen televisyen Channel 3 berdasarkan keputusan pilihan raya tersebut. 

Parti Rakyat yang progresif jauh ketinggalan dengan sedikit melebihi 100 kerusi, mengatasi  Pheu Thai milik bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra yang kini dipenjarakan, di tempat ketiga.

Ia merupakan satu kebangkitan luar biasa bagi Anutin, yang partinya hanya menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya lalu dan beliau sendiri baru dilantik sebagai perdana menteri oleh parlimen pada September tahun lalu, selepas dua pendahulunya dari Pheu Thai disingkirkan daripada jawatan perdana menteri oleh mahkamah.

Mengaku kekalahan, ketua Parti Rakyat, Natthaphong Ruengpanyawut, memberitahu wartawan di Bangkok: “Kami berpegang kepada prinsip menghormati parti yang menduduki tempat pertama dan haknya untuk membentuk kerajaan”.

Antara perkara utama yang bermain di fikiran ramai pengundi ialah pertikaian sempadan lama dengan Kemboja yang meletus menjadi pertempuran berdarah dua kali tahun lalu.

Walaupun Bhumjaithai dilihat tidak mungkin memperoleh majoriti mutlak dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 500 kerusi, jumlah kerusinya akan memberi kelebihan dalam rundingan pembentukan kerajaan campuran.

Thailand menggunakan sistem perwakilan campuran, di mana 400 ahli parlimen dipilih melalui kawasan pilihan raya individu, dan 100 lagi kerusi diagihkan berdasarkan undi senarai parti.

Sebelum ini, Parti Rakyat dikenali dengan nama Parti Move Forward, memenangi paling banyak kerusi dalam pilihan raya tiga tahun lalu, tetapi calonnya disekat daripada jawatan perdana menteri dan parti itu kemudiannya dibubarkan. 

Pheu Thai dilihat sebagai rakan gabungan yang berpotensi untuk Anutin. Namun, Bhumjaithai pernah menarik diri daripada perjanjian berhubung cara pertikaian sempadan ditangani oleh perdana menteri ketika itu, Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan Thaksin daripada parti tersebut.

Paetongtarn pernah merujuk kepada tokoh kuat Kemboja, Hun Sen, sebagai  pak cik dalam satu panggilan telefon yang bocor, dan menggambarkan seorang komander tentera Thailand sebagai lawan beliau.

Thaksin kini sedang menjalani hukuman penjara setahun atas kesalahan rasuah semasa memegang jawatan, namun ramai pemerhati menjangkakan beliau akan dibebaskan lebih awal daripada jadual sebagai sebahagian daripada perjanjian politik. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN