Pilihan raya umum Jepun bermula hari ini - Utusan Malaysia

Pilihan raya umum Jepun bermula hari ini

SEORANG pengundi mengundi di sebuah pusat pengundian di Tokyo hari ini. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Pengundian dalam pilihan raya umum Jepun bermula pada pagi ini dengan seramai 1,284 calon bertanding untuk merebut 465 kerusi di Dewan Perwakilan, iaitu dewan rendah parlimen yang berkuasa.

Fokus utama pilihan raya ini adalah sama ada gabungan pemerintah Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Inovasi Jepun akan memperoleh majoriti dalam pilihan raya tersebut.

Kemenangan itu membolehkan pentadbiran Perdana Menteri, Sanae Takaichi meneruskan pemerintahan, atau sama ada pihak pembangkang akan memperluas kekuatan mereka dan menghalang keputusan tersebut.

Takaichi memegang jawatan sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun pada Oktober tahun lalu dan mengadakan pilihan raya mengejut bagi cuba memanfaatkan populariti awal beliau.

Pusat-pusat pengundian di seluruh negara akan ditutup pada pukul 8 malam waktu tempatan dan proses pengiraan undi dijangka berlanjutan hingga lewat malam.

Tinjauan terkini oleh media utama Jepun menunjukkan bahawa gabungan pemerintah berkemungkinan besar memperoleh majoriti kerusi. 

Menurut tinjauan Kyodo News, pada masa yang sama, gabungan pembangkang baharu, Pakatan Reformasi Sederhana yang dilancarkan secara rasmi oleh Parti Demokratik Perlembagaan Jepun dan Komeito (bekas sekutu LDP), dilihat semakin kehilangan sokongan berbanding jumlah kerusi sebelum pilihan raya.

Namun, walaupun unjuran tersebut, tinjauan juga menunjukkan bahawa sebahagian besar pengundi masih belum membuat keputusan, sekali gus membuka ruang kepada perubahan saat-saat akhir. 

Skandal dana gelap yang masih membelenggu LDP turut terus menimbulkan ketidaktentuan dalam perlumbaan itu.

Takaichi telah membubarkan Dewan Rendah pada 23 Januari lalu untuk mengadakan pilihan raya mengejut, menandakan pembubaran pertama pada permulaan sesi parlimen biasa dalam tempoh 60 tahun. 

Beliau berikrar akan meletakkan jawatan sekiranya gabungan pemerintah gagal mengekalkan majoriti dalam pilihan raya ini.

Keputusan tersebut dikritik kerana dianggap mengutamakan kepentingan politik berbanding pelaksanaan tugas parlimen untuk meluluskan bajet awal bagi tahun fiskal 2026 yang bermula pada April depan, walaupun beliau berjanji untuk mengutamakan pelaksanaan dasar.

Ia merupakan pilihan raya Dewan Rendah pertama Jepun yang diadakan pada bulan Februari sejak 1990.  AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN