Pekan kecil dihuni lima orang bakal dilelong RM26 juta - Utusan Malaysia

Pekan kecil dihuni lima orang bakal dilelong RM26 juta

SEBUAH kampung yang terdapat di Licola. -Foto LIcola Wilderness Village/Google Maps
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VICTORIA: Sebuah pekan kecil di Australia kini disenaraikan untuk jualan pada harga kira-kira AUD$10 juta (RM26  juta), sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan salah sebuah komuniti paling unik dan terkecil di negara berkenaan..

Licola, sebuah penempatan terpencil yang terletak di kawasan tanah tinggi Victoria, kira-kira 250 kilometer (km) ke timur Melbourne, hanya mempunyai lima orang penduduk tetap. 

Pekan seluas 17 hektar itu merangkumi sebuah kedai serbaneka, stesen minyak, tapak untuk kenderaan karavan dan beberapa bangunan papan.

Keputusan untuk menjual pekan tersebut dibuat menerusi penyenaraian dalam talian selepas pemilik lamanya menyatakan bahawa operasi kawasan itu tidak lagi mampan dari segi kewangan.

Selama lebih 50 tahun, Licola dimiliki oleh pertubuhan khidmat masyarakat Lions Clubs of Victoria and Southern NSW. 

Organisasi tersebut mengambil alih tapak bekas kilang kayu itu pada lewat 1960-an dan mengubahnya menjadi perkampungan belantara yang mengendalikan kem untuk kanak-kanak kurang bernasib baik, golongan belia dan kumpulan berkeperluan khas.

Terletak di tebing Sungai Macalister, Licola juga merupakan persinggahan penting bagi pengembara yang menuju ke Taman Negara Alpine.

Pekan itu menyediakan kemudahan minyak, makanan dan penginapan di kawasan yang jarang mempunyai perkhidmatan lain.

Menariknya, Licola merupakan satu-satunya pekan di Victoria yang tidak dihubungkan dengan rangkaian elektrik negeri. 

Sebaliknya, ia menjana bekalan kuasa sendiri melalui solar mikrogred, selain menguruskan rawatan air dan sisa sendiri.

Berita penjualan itu amat mengejutkan penduduk dan penyokong pekan tersebut, terutamanya sebuah keluarga yang mengusahakan kedai serbaneka tersebut.

“Saya sangat sayangkan pekan ini. Jika pekan ini jatuh ke tangan pemaju dan diubah menjadi sesuatu yang asing, ia pasti akan menghancurkan hati saya,” kata O’Donnell kepada Perbadanan Penyiaran British. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN