BANGKOK/TOKYO: Parti Bhumjaithai di Thailand telah memenangi pilihan raya umum 2026, membuka jalan kepada pemimpinnya, Anutin Charnvirakul mengekalkan jawatan Perdana Menteri ketika pengundi-pengundi memberikan mandat untuk meminda perlembagaan yang ditulis junta tentera pada 2017 dalam satu pungutan suara kelmarin.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi turut berjaya memimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Dewan Rendah kelmarin dengan saluran televisyen NHK menunjukkan parti tersebut memperoleh dua pertiga majoriti daripada 465 kerusi yang dipertandingkan.
Sehingga petang semalam, sebanyak 89 peratus undi yang dikira menunjukkan Bhumjaithai memperoleh kira-kira 200 daripada 500 kerusi menjadikannya ia sebagai parti terbesar di dalam Dewan Perwakilan.
Namun, ia kurang 251 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan secara ‘solo’ tetapi Bhumjaitahi pasti akan membentuk kerajaan campuran bersama sekutunya, Parti Kia yang memenangi 60 kerusi..
Parti Rakyat yang dulu dikenali sebagai Parti Move Forward telah memenangi110 kerusi manakala parti populis Pheu Thai yang disokong oleh bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra memenangi 80 kerusi, menurut keputusan pilihan raya tersebut.
Keputusan itu dijangka meningkatkan keyakinan pelabur, menyokong pasaran saham dan mata wang serta memastikan kesinambungan polisi ekonomi serta pentadbiran di tengah-tengah ketidaktentuan global.
KEYAKINAN PELABUR
Mata wang baht meningkat kepada 31.456 (RM3.96) bagi setiap dolar pada awal dagangan Asia apabila Parti Bhumjaithai memenangi kerusi terbanyak dalam Dewan Perwakilan dan berada pada kedudukan terbaik untuk membentuk kerajaan campuran.
Indeks Bursa Saham Thailand (SET) melonjak lebih tiga peratus semalam selepas keputusan pilihan raya menunjukkan Bhumjaithai menguasai pembentukan kerajaan baharu.
Indeks SET meningkat 40.74 mata atau 3.01 peratus, pada pukul 10.13 pagi waktu tempatan dalam dagangan bernilai hampir 30 bilion baht (RM3.7 bilion) semalam.
Susulan kejayaan parti pemerintah itu, Pengarah Urusan Kasikorn Research Center, Burin Adulwatana menekankan, kemenangan Bhumjaithai dengan majoriti besar seharusnya memastikan tiada kelewatan dalam pembentukan kerajaan baharu bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Pasukan ekonomi kerajaan dapat meneruskan strategi yang sebelum ini dianggap berjaya, termasuk program subsidi bersama kos harian untuk membantu rakyat dengan makanan dan barang keperluan asas.
Parti Bhumjaithai menyertai pilihan raya mengejut itu selepas Dewan Perwakilan dibubarkan kurang tiga bulan selepas penggalnya bermula, satu pertaruhan politik berisiko tinggi bagi mendapatkan mandat penuh empat tahun mentadbir Thailand.
Anutin, 59, menjadi perdana menteri Thailand ke-32 pada September tahun lalu, pemimpin ketiga negara itu dalam tempoh hanya dua tahu. Ia berlaku selepas Bhumjaithai pantas membentuk kerajaan minoriti susulan penyingkiran perdana menteri ketika itu, Paetongtarn Shinawatra oleh Mahkamah Perlembagaan.
Menjelang Disember tahun lalu, beliau membubarkan Parlimen dengan mempertaruhkan kelebihan sebagai penyandang jawatan, momentum semasa dan penjajaran politik baharu yang dijangka memihak kepadanya.
Pada pilihan raya umum 2023, Bhumjaithai berada di tempat ketiga dengan 71 kerusi, Parti Move Forward yang kemudian dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan memenangi 112 kerusi dan Parti Pheu Thai mendapat 141 kerusi yang berada di tangga pertama..
Selepas pemecatan Paetongtarn daripada Pheu Thai, Dewan Perwakilan telah memilih penggantinya, Anutin yang terpaksa menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Parti Rakyat.
Sementara itu di Jepun, seorang pemain dram muzik heavy mental semasa muda, Takaichi yang merupakan peminat ’Iron Lady Britain’, Margaret Thatcher dan berada di kelompok ultra konservatif dalam LDP ketika beliau menjadi ketua parti menjadi perdana menteri dalam politik Jepun yang didominasi lelaki.
Takaichi menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba pada bulan Oktober tahun lalu yang kepimpinannya selama setahun menyaksikan ketidakpuasan pengundi meningkat akibat inflasi dan skandal dana gelap dalam parti tersebut.
Pelantikan Takaichi sebagai perdana menteri menamatkan kekosongan politik selama tiga bulan dan perebutan kuasa sejak kekalahan besar LDP dalam pilihan raya.
Parlimen Jepun melantik Takaichi, seorang konservatif, sebagai perdana menteri tahun lalu, satu peristiwa bersejarah yang berlaku sehari selepas partinya yang bergelut memeterai perjanjian gabungan dengan rakan baharu yang akan mengalih blok pemerintahnya lebih ke arah politik kanan.
Keputusan awal semalam menunjukkan LDP, yang sebelum ini mempunyai 198 kerusi, kini memenangi 316 kerusi, memberikan nisbah wakil tertinggi di Dewan Rendah dalam sejarah pascaperang Jepun.
Pakar Sains Politik Universiti Tokyo, Profesor Yu Uchiyama berkata, populariti Takaichi menjadi penyumbang utama kemenangan besar LDP.
“Menjadi wanita pertama sebagai perdana menteri memberi imej baharu dan segar. Sebaliknya, CRA kelihatan agak lama dan sukar menarik pengundi. Menerusi majoriti dua pertiga, kerajaan kini boleh melaksanakan strategi Parlimen agresif termasuk mengatasi keputusan Dewan Tertinggi.
“Agenda popular seperti pemotongan cukai pengguna makanan mungkin diterima mudah, tetapi isu kontroversi seperti undang-undang anti-perisikan mungkin menghadapi tentangan,” katanya. – AGENSI










