VALENCIA: Seorang lelaki memanjat bumbung sebuah pesawat penumpang sebelum mengejek beberapa kakitangan penerbangan, sehingga menyebabkan kelewatan selama dua jam di Lapangan Terbang Manises, Valencia.
Lelaki berusia 24 tahun dari Maghribi itu dilaporkan menjerit kepada mereka dan berlari di atas bumbung Airbus A320 milik syarikat penerbangan Vueling pada sekitar pukul 6 petang waktu tempatan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian yang berlaku sekurang-kurangnya 10 minit, lelaki terbabit mengejek kakitangan-kakitangan itu sebelum berlari melintasi pesawat dua kali dan mengambil minuman dari begnya, menyebabkan penerbangan menuju ke Amsterdam, Belanda tertangguh selama dua jam.
Seorang penumpang yang merakamkan video kejadian itu memaparkan lelaki terbabit memanjat bumbung pesawat sambil menepuk dadanya dan menjerit kepada kakitangan-kakitangan penerbangan.
Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan dilihat menari-nari dan memasukkan jarinya ke telinga seolah-olah tidak mendengar permintaan beberapa kakitangan yang memujuknya.
Pengawal-pengawal keselamatan awam dipanggil ke lokasi selepas lelaki itu dilaporkan melanggar peraturan keselamatan udara.
Mereka akhirnya memujuknya untuk turun dan mengesahkan tiada sebarang senjata dibawa dalam beg galasnya.
Menurut Lapangan Terbang dan Navigasi Udara Sepanyol, lelaki itu tidak menimbulkan risiko kepada keselamatan penumpang-penumpang.
Pesawat berkenaan kemudian menjalani pemeriksaan menyeluruh dengan kru penyelenggaraan Vueling mengesahkan tiada kerosakan selepas memeriksa bahagian fiuslaj.
Kejadian berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lelaki dipercayai warga Russia menyebabkan kelewatan teruk apabila dia menanggalkan pakaian, mengancam kru dan kemudian cuba melompat keluar dari pesawat. – AGENSI










