Iran tidak takut perang dengan AS - Utusan Malaysia

Iran tidak takut perang dengan AS

PESAWAT pejuang F/A-18F Super Hornet melakukan pendaratan di dek penerbangan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln di Laut Arab.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN/WASHINGTON: Iran tidak akan sesekali menyerahkan haknya untuk memperkaya uranium bagi tujuan tenaga nuklear walaupun perang dipaksakan ke atas negara berkenaan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menteri Luar negara tersebut, Abbas Araghci menyatakan demikian dalam satu forum di Teheran semalam sambil menentang tekanan daripada Washington selepas rundingan diadakan antara kedua-dua negara di Muscat, Oman, Jumaat lalu..

“Iran telah membayar harga yang sangat mahal untuk program nuklear aman dan aktiviti pengayaan uranium.

“Mengapa kami begitu berkeras mempertahankan pengayaan dan enggan melepaskannya walaupun perang dipaksakan ke atas kami? Kerana tiada siapa yang berhak mengawal atau menentukan tingkah laku kami,” katanya, dua hari selepas beliau bertemu dengan Utusan AS, Steve Witkoff di Oman.

Rundingan di Oman memberi tumpuan kepada program nuklear Iran, selepas Trump mengancam campur tangan sekiranya Teheran terus menindas rakyatnya secara ganas.

Araghchi berkata, rundingan lanjut hanya boleh diteruskan jika AS menghentikan ugutan terhadap negaranya.

Beliau mengaku wujud ketidakpercayaan yang mendalam antara Teheran dan Washington.

Rundingan awal bertujuan menyediakan asas bagi perbincangan diplomatik dan teknikal yang seterusnya.

Beliau menyifatkan pertemuan di Muscat sebagai permulaan yang baik dan terdapat persefahaman untuk meneruskan rundingan, dengan penyelarasan seterusnya akan diputuskan di ibu negara masing-masing.

Pada masa sama, Amerika mengeluarkan amaran keselamatan, menggesa warganya segera meninggalkan Iran dan membuat perancangan keluar tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.

TIDAK GENTAR

Menteri Luar Iran turut menyatakan bahawa negaranya tidak gentar dengan penempatan tentera laut Amerika di Teluk, dua hari selepas rundingan dengan utusan Washington.

“Penempatan ketenteraan mereka di rantau ini tidak menakutkan kami,” katanya, selepas Witkoff yang merupakan utusan Presiden AS, Donald Trump, melawat kapal induk AS, USS Abraham Lincoln di rantau tersebut.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump menekankan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk melancarkan sebarang operasi ketenteraan terhadap Iran..

Menurut Trump, pendirian itu diambil kerana AS masih perlu memastikan semua aset ketenteraannya berada dalam kedudukan yang sesuai sebelum melancarkan sebarang tindakan, selain memberi keutamaan kepada penyelesaian diplomatik.

“Kami tidak tergesa-gesa.. Kami mempunyai banyak masa. Jika anda ingat Venezuela, kita menunggu agak lama dan kita tidak tergesa-gesa,” kata presiden itu apabila ditanya mengenai garis masa.

“Kami mengadakan rundingan yang sangat baik dengan Iran. Kami juga mengadakan rundingan yang sangat baik dengan Russia dan Ukraine. Kami melakukan banyak perbincangan yang baik.

“Keputusan hari ini (Jumaat lalu) dengan Iran. Kami akan bertemu lagi awal minggu depan (minggu ini), dan mereka mahu membuat perjanjian, sebagaimana mereka sepatutnya mahu membuat perjanjian.

“Mereka tahu akibatnya jika mereka tidak berbuat demikian. Jika mereka tidak membuat perjanjian, akibatnya sangat berat. Jadi, kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya kepada wartawan selepas rundingan itu diadakan selain merujuk pengalaman AS sebelum ini dalam menangani krisis di Venezuela.

CAMPUR TANGAN

Trump berkata, campur tangan AS sebahagian besarnya didorong oleh hasrat untuk melindungi penunjuk-penunjuk perasaan di Iran, yang menghadapi tindakan keras kerajaan Teheran dalam demonstrasi ekonomi sebelum ia bertukar menjadi tunjuk perasaan antikerajaan dan bermula sejak hujung tahun lalu. Namun, tunjuk perasaan itu dapat dibanteras oleh pihak berkuasa negara tersebut.

Dalam tunjuk perasaan itu ,sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Norway, Iran Human Rights telah mengeluarkan angka korban sejak permulaan demonstrasi, mengesahkan 3,428 kematian apabila skala keganasan melangkaui keupayaan organisasi tersebut untuk mengesahkan maklumat mengikut piawaian mereka.

Rumah Putih menegaskan AS menuntut ‘kapasiti nuklear sifar’ bagi Iran, sama ada untuk tujuan senjata mahupun tenaga.

Washington juga menuntut Teheran mengurangkan stok peluru berpandu balistik dan menghentikan sokongan terhadap kumpulan proksi serantau seperti Hezbollah serta Hamas, namun Iran menafikan isu itu dibincangkan dalam rundingan.

Katanya, Trump mempunyai pelbagai pilihan di atas meja sebagai ketua angkatan tentera ‘paling berkuasa’ di dunia.’

Pada 22 Jun tahun lalu, AS melancarkan serangan besar-besaran ke atas tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordow, Isfahan dan Natanz menggunakan pesawat pengebom B-2 serta 30 peluru berpandu Tomahawk.

Iran diperintah di bawah sistem teokrasi sejak Revolusi Islam 1979 yang dipimpin Ayatollah Ruhollah Khomeini, sebelum kepimpinan tertinggi diambil alih oleh Ayatollah Ali Khamenei pada 1989.

Negara itu berjaya mengekalkan sistem pemerintahan itu walaupun berdepan perang dengan Iraq, sekatan ekonomi dan bantahan rakyat yang berulang di bawah kepimpinan Khamenei.

Beberapa tokoh pembangkang Iran, termasuk bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi, menolak campur tangan asing dan menegaskan perubahan mesti berlaku secara aman dari dalam.

Buat masa ini, Trump menegaskan Washington akan terus memberi tekanan maksimum terhadap Teheran, sambil mengekalkan rundingan sebagai pilihan utama, namun memberi amaran semua kemungkinan kekal berada di atas meja. – AGENSI/AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN