TEHERAN: Iran melancarkan serangan balas terhadap aset Amerika Syarikat (AS) di beberapa negara Teluk susulan serangan besar-besaran bersama AS dan Israel terhadap republik itu.
Kerajaan Iran mengesahkan serangan tersebut menyasarkan beberapa lokasi di Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa semua sasaran ketenteraan Israel dan AS di rantau berkenaan dibedil peluru berpandu, sambil menegaskan operasi akan diteruskan sehingga musuh ‘ditewaskan sepenuhnya’.
Di Abu Dhabi, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut selepas serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh di kawasan bandar. Bahrain pula memaklumkan ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS menjadi sasaran serangan, menyifatkannya sebagai tindakan khianat dan pelanggaran kedaulatan negara itu.
Kementerian Pertahanan Kuwait memaklumkan Pangkalan Udara Ali al-Salem diserang beberapa peluru berpandu balistik, namun semuanya dipintas sistem pertahanan udara. Qatar turut mengesahkan beberapa ancaman digagalkan sebelum memasuki ruang udara negara itu.
Arab Saudi dalam kenyataannya memaklumkan serangan turut menyasarkan Riyadh dan wilayah timur negara berkenaan, namun berjaya dipatahkan. Qatar, Kuwait, Bahrain dan UAE bertindak menutup sementara ruang udara masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Di Iraq, Lapangan Terbang Erbil menjadi sasaran dua serangan termasuk menggunakan dron, tetapi berjaya dipintas.
Media Syria pula melaporkan satu letupan peluru berpandu mengorbankan empat orang di kawasan perindustrian Suwayda, tanpa memperincikan pihak yang bertanggungjawab.
Sementara itu, Oman yang sebelum ini menjadi pengantara rundingan tidak langsung antara Iran dan AS kecewa terhadap perkembangan terbaharu itu.
Menteri Luar Oman menggesa Washington supaya tidak terus terlibat dalam konflik, ketika penganalisis melihat situasi semasa berpotensi menjerumuskan rantau Teluk ke dalam peperangan berpanjangan.










