JAKARTA: Kisah tragis seorang kanak-kanak di Indonesia mendapat perhatian warganet selepas dia mendedahkan diseksa dan dipaksa minum air mendidih oleh ibu tirinya beberapa jam sebelum meninggal dunia.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu, Nizam Syafei, berbaring di katil hospital dengan kecederaan yang kritikal dan menyebut perkataan ‘Mummy’ apabila ditanya siapa yang bertanggungjawab melakukan perbuatan terhadapnya sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Nizam dibawa ke sebuah hospital pada awal pagi 19 Februari di Sukabumi selepas melecur teruk pada bahagian dalam badan. Doktor mendapati esofagusnya terbakar akibat air mendidih dan dia kemudian disahkan meninggal dunia pada petang hari yang sama.
Tubuh kanak-kanak itu turut dipenuhi kecederaan konsisten dengan keganasan fizikal, menurut laporan media Indonesia.
Bapa kanak-kanak itu, Anwar Satibi, 38, memberitahu pemberita, dia pernah membuat laporan polis terhadap isterinya berhubung dakwaan penderaan sebelum ini.
Namun, wanita itu kemudian memohon maaf.
Anwar bagaimanapun menjelaskan laporan itu tidak pernah ditarik balik secara rasmi.
Lelaki itu mendakwa Nizam sering dipukul setiap kali bergaduh dengan anak-anak angkat ibu tirinya.
Selepas pergaduhan itu, dua anak wanita itu tidak dihukum.
Pada malam sebelum kematian anaknya, Anwar berada di tempat kerja apabila isterinya menelefon memberitahu Nizam demam panas.
Sebaik pulang ke rumah,dia terkejut mendapati Nizam dipenuhi lepuh dan melecur, walaupun keadaannya baik ketika ditinggalkan pada waktu pagi.
Menurut Anwar, isterinya mendakwa lepuh itu muncul secara semula jadi setiap kali anak itu demam.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sukabumi, Asisten Superintendan Polis, Hartono mengesahkan siasatan sedang dijalankan sementara menunggu keputusan forensik.










